KOTA BHARU - Hasrat seorang wanita untuk menjadi pengedar sebuah syarikat kopi tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di dalam bilik salah sebuah hotel di bandar ini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa Rozi Hana Md. Zin, 34, berada di dalam bilik berkenaan bersama empat wanita yang juga wakil kepada syarikat terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian disedari empat wanita terbabit yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an, apabila mangsa tiba-tiba mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.
Beliau berkata, pada masa sama mangsa turut mengalami kancing gigi dan keadaannya kemudian ditenteramkan oleh empat wanita terbabit yang datang dari Kuala Lumpur.
Katanya, selepas setengah jam memberi pertolongan kepadanya, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan disahkan mati di dalam bilik berkenaan.
“Mangsa masuk ke bilik berkenaan, kira-kira jam 10.30 pagi dan sempat berbual dengan wanita terbabit mengenai produk kopi yang dibawanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Kampung Pulau Kapas, Tapang, dekat sini.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklafikasikan mangsa mati mengejut.
Sementara itu, salah seorang rakan wanita terbabit yang dikenali dengan panggilan Zaharah berkata, ketika dia memberi keterangan mengenai produk kopi itu, mangsa telah mengadu sakit kepala dan pening.
Katanya, pada masa sama, mangsa kelihatan muntah dan kancing gigi sebelum tidak sedarkan diri.
”Saya memberi bantuan dengan mengurut beberapa kali tetapi selepas setengah jam kemudian dia disahkan mati,” katanya.
Sinar Harian
18 Apr 2011
4 wanita direman enam hari
EMPAT wanita ditahan reman enam hari di Mahkamah Kota Bharu bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang wanita di sebuah bilik hotel disini, kelmarin. Foto: Fathil Asri (17/04/2011)
KOTA BHARU: Empat wanita direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang ibu lima anak, Rozi Hana Md Zin, 34, di sebuah bilik hotel, di sini, tengah hari kelmarin.
Suspek berusia antara 39 dan 49 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan pada petang hari sama.
Perintah tahanan reman yang bermula semalam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu bermula semalam sehingga 23 April ini.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian dengan kelalaian.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati wujudnya unsur jenayah terhadap kematian mangsa.
“Bagaimanapun, kami masih meneruskan siasatan berhubung kes ini,” katanya.
ps/ di hotel mana ni? siapa tahu pasal kes ni?