
Seorang mangsa banjir membuat pemeriksaan kesihatan di PPS Balai Raya Jepak.
BINTULU: Seramai 119 mangsa banjir daripada 43 keluarga di Jepak dan Kuala Setiam telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Jepak setakat jam 9.30 malam pada Rabu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bintulu, Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata, ia melibatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga Kampung Baru Sebuan Besar Jepak, lapan mangsa daripada dua keluarga (Kampung Semadang), lima mangsa daripada dua keluarga (Kampung Sebuan Kecil Jepak), dua mangsa daripada satu keluarga (Kampung Warisan Jepak dan 72 mangsa daripada 30 keluarga (Kuala Setiam).
Mangsa banjir mendapat makanan yang disediakan di PPS Balai Raya Jepak.
Anggota agensi-agensi yang bertugas di PPS Balai Raya Jepak.
"Pemindahan itu merangkumi 15 warga emas, 65 dewasa, 37 kanak-kanak dan dua bayi perempuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, PPS tersebut dibuka pada jam 10.30 pagi dan agensi yang berada di PPS tersebut terdiri empat anggota masing-masingnya APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa dan PPS dalam keadaan terkawal dan selamat.
|