Edited by Vellfire at 31-1-2025 04:56 AM

Iskandar (kanan) bertanya keadaan mangsa banjir di PPS Balai Raya Jepak.
BINTULU: Mangsa banjir dari Kampung Baru Sebuan Besar Jepak, Kampung Semadang, Kampung Sebuan Kecil Jepak, Kampung Warisan Jepak dan Kuala Setiam menerima bantuan bekalan makanan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Jepak.
Penyaluran bantuan makanan itu kepada mangsa banjir turut disaksi dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang meninjau keadaan mangsa di PPS terbabit.
Iskandar berkata, bantuan segera akan disalurkan kepada mangsa banjir dengan kerjasama agensi berkaitan melibatkan bekalan makanan, keperluan asas dan sokongan perubatan.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan penyelamat lain juga turut memantau situasi banjir serta memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa di PPS.
"Pihak berkuasa bersiap siaga bagi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, termasuk menambah kapasiti PPS jika jumlah mangsa meningkat," katanya di sini hari ini.
Bantuan makanan untuk mangsa banjir di PPS Balai Raya Jepak.
Iskandar (kanan) bertanya sesuatu dengan warga emas yang ditempatkan di PPS Dewan Suarah Bintulu.
Justeru katanya, penduduk di bahagian ini dinasihati agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak risiko keselamatan.
Sementara itu, Iskandar turut meninjau keadaan serta memastikan bantuan segera makanan disalurkan kepada mangsa yang terjejas di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew termasuk meninjau keadaan Pusat Transit Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru.
Katanya, seramai 80 penduduk Kampung Baru yang terjejas akibat banjir ditempatkan di pusat terbabit diberi perhatian sewajarnya serta keperluan tambahan dinilai bagi meningkatkan keselesaan mereka.
"SK Kampung Baru dibuka sebagai pusat transit bagi mempercepatkan proses pemindahan penduduk yang terjejas sebelum penduduk dipindahkan ke PPS Dewan Suarah," katanya.
Ujarnya, beberapa agensi melibatkan JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan pihak berkuasa tempatan turut terlibat dalam operasi pemindahan dan bantuan kepada mangsa.
Setakat ini katanya, bantuan makanan dan keperluan asas telah disalurkan kepada mangsa banjir, manakala pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca serta tahap air di kawasan terjejas.
Iskandar turut mengingatkan semua pihak untuk terus berwaspada terhadap sebarang perkembangan cuaca dan mengikuti arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan bersama.
Iskandar (tengah) memperkatakan sesuatu dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Suarah Bintulu.
|