
Tiong semasa bercakap dengan pemberita semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PDP di Sibu, hari ini.
SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) sedang giat menggerakkan bantuan pasca banjir di Bintulu dan kini memerlukan sekurang-kurangnya 150 sukarelawan untuk membantu usaha pemulihan di kawasan yang terjejas.
Presidennya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, lebih 70 sukarelawan daripada pusat khidmat parti telah bersiap sedia, dan jika keadaan memerlukan, tenaga bantuan tambahan dari Sibu akan digerakkan.
“Kami juga akan menghantar aset seperti bot dan peralatan lain bergantung pada keperluan di lapangan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PDP di Pusat Komersial Li Hua di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa PDP menerima sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Miri dan Sibu, selain pasukan dari Labuan dan Sabah yang bersedia digerakkan sekiranya diperlukan.
Dalam perkembangan terkini, Tiong berkata paras air di beberapa kawasan terjejas mula menunjukkan tanda-tanda surut, namun pemantauan rapi tetap dijalankan.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, juga sedang dalam perjalanan ke Bintulu untuk meninjau pusat pemindahan sementara. Saya sendiri akan bergegas ke sana bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, PDP dalam satu hantaran di Facebook menyeru individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan agar segera mendaftar bagi membantu usaha pemulihan banjir di Bintulu.
Mereka yang ingin menyumbang tenaga boleh menghubungi Anong di Bintulu (017-8501785) atau Stephen di Miri (012-8717885) untuk maklumat lanjut.
|