CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9827|Reply: 0

[Sarawak] Elak sebar berita, maklumat tak sahih berkaitan banjir di media sosial

[Copy link]
Post time 31-1-2025 01:03 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 31-1-2025 05:04 AM



Uggah (tiga kanan) bercakap kepada pemberita semasa melawat PPS SJK Chung Hua Batu Kawa hari ini. Turut kelihatan (dari dua kanan) Dr Sim, Fatimah, Hasidah dan Kho. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan berita tidak sahih atau maklumat yang tidak disahkan di media sosial membabitkan situasi banjir di Sarawak.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa segala perkembangan rasmi terkini atau maklumat berhubung situasi banjir di negeri ini akan dikeluarkan oleh JPBNS.

"Saya nampak pada pagi tadi banyak berita tular di media sosial. Jadi, kami menasihati agar orang ramai tidak menghantar mesej tidak diperlukan kerana agensi sedang melakukan yang terbaik. Akan ada laporan daripada Sekretariat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Batu Kawa, di sini, hari ini.

Uggah memberi jaminan bahawa JPBNS sedang berusaha sebaik mungkin untuk meringankan beban para mangsa banjir, selain menyatakan bahawa JPBNS mempunyai pengalaman luas dalam menangani masalah banjir susulan ia berlaku setiap tahun.


Sekitar suasana di PPS SJK Chung Hua Batu Kawa yang menempatkan mangsa terjejas akibat banjir di Kampung Rantau Panjang. - Gambar Chimon Upon

Namun menurutnya, cabaran yang dihadapi JPBNS adalah intensiti banjir yang sentiasa berubah-ubah.

“Kami diberitahu bahawa Bintulu berhadapan banjir luar biasa yang belum pernah terjadi sebelum ini sehingga penduduknya berdepan dengan isu fasiliti dan kemudahan.

“Namun, dengan komitmen pengurusan sistem yang efisien di peringkat bahagian yang dikoordinasi oleh Tuan Residen, kami berjaya menyelaraskan semua agensi untuk membantu,” jelas Uggah yang juga Pengerusi JPBNS.

Tambahnya juga, keutamaan JPBNS adalah memindahkan mangsa ke PPS namun menurut beliau, pihaknya mendapati masih menerima laporan bahawa ada segelintir penduduk yang enggan berpindah.

“Seperti yang dilaporkan tadi, kami akan berusaha sedaya upaya untuk memujuk mereka agar berpindah ke PPS. Ini penting supaya keselamatan mereka dapat dijaga dengan baik.



Uggah, Fatimah dan Dr Sim menyantuni mangsa banjir ketika mengadakan lawatan ke PPS SJK Chung Hua Batu Kawa. - Gambar Chimon Upon

"Dalam masa yang sama, kami berharap dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Setakat ini, keadaan masih terkawal dan semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Uggah dalam pada itu memberitahu JPBNS terus memantau rapi situasi banjir di Sarawak dan sehingga hari ini, sebanyak 48 Pusat PPS telah dibuka di seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut katanya, setakat ini lapan PPS dibuka di Bintulu, 18 di Serian, lima di Samarahan, lima di Kuching, tujuh di Miri, dan tiga di Sibu bagi menempatkan mangsa banjir.

Selain itu, satu PPS telah dibuka di Miri untuk mangsa tanah runtuh, manakala satu lagi di Kanowit bagi mangsa kebakaran.

Setakat ini juga menurut Uggah, 1,545 keluarga dengan jumlah keseluruhan 5,561 mangsa telah dipindahkan ke PPS bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Dalam pada itu, PPS SJK Chung Hua Batu Kawa kini menempatkan 236 mangsa daripada 59 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Rantau Panjang.

Operasi di PPS ini dibantu oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RELA, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa terjamin.

Hadir sama semasa lawatan ke PPS tersebut adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Setiausaha Politik Premier Sarawak Kho Teck Wan dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 01:16 PM GMT+8 , Processed in 0.043639 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list