![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250130/btu-ub300125-ai-pangbantu-p1.jpg)
Pang bersama sukarelawan penyelamat lain membantu mangsa banjir yang terkandas memasuki bot untuk dipindah ke tempat selamat.
BINTULU: Penduduk yang terjejas akibat banjir digalakkan untuk mendapatkan perlindungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang ditetapkan untuk keselamatan dan memudahkan penyaluran bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong BatuJohnny Pang berkata, beliau bersama pasukannya sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan dan mangsa terjejas dinasihatkan agar tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, pihaknya telah meninjau dan membantu keadaan penduduk yang terkandas di penempatan di sini.
"Apa yang sepatutnya menggembirakan pada Tahun Baharu sebaliknya berubah menjadi masa sukar bagi penduduk Bintulu," katanya di sini hari ini.
Dalam situasi krisis banjir buruk ini katanya, beliau dan pasukannya yang sebelum ini berada Kuching, segera ke kawasan terjejas setibanya di Bintulu, untuk menghulurkan bantuan bersama barisan hadapan.
"Saya sangat sedih menyaksikan kemusnahan secara langsung, wajah sedih mangsa banjir dan air mata mereka yang tidak berdaya setiap saat membuatkan saya rasa sebak.
"Melihat perjuangan mereka, menguatkan azam saya untuk melakukan segala-galanya untuk membantu mereka," kata Pang.
Pang (kiri) menyantuni mangsa banjir di PPS Stadium Muhibah Bintulu.
Pang berkata, tiada siapa pun yang menginginkan bencana seperti ini, namun di tengah-tengah krisis ini, beliau juga telah menyaksikan kebaikan ditunjukkan oleh mereka yang bertindak sebagai sukarelawan, menderma dan membekalkan makanan kepada mangsa dan menawarkan bantuan.
"Kepada anda semua (yang menderma), terima kasih tidak terhingga dari lubuk hati saya," tambahnya.
Begitupun katanya, perjuangan masih belum selesai, masih banyak yang perlu dilakukan dan beliau berharap lebih ramai orang akan tampil menghulurkan bantuan.
"Mari kita berdiri bersama, menyokong satu sama lain dan mengharungi kesusahan ini bersama," katanya.
|