Verstappen idam gelaran kelima berturut-turut
Februari 19, 2025 @ 11:48am

Pemandu pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen (kanan) ketika pelancaran Formula Satu Musim 2025. - Foto AFP
LONDON: Max Verstappen percaya pengetahuan yang diperoleh Red Bull pada musim Formula Satu 2024 boleh membantunya untuk memenangi kejuaraan dunia kelima berturut-turut.
Pelumba dari Belanda itu meraih kejuaraan keempat berturut-turut di Las Vegas pada November, menjadi pemandu kelima dalam sejarah Formula Satu yang mencapai kejayaan itu.
Sekiranya dia mengekalkan gelaran itu pada 2025 - musim ulang tahun ke-75 Formula Satu - Verstappen akan menyertai kelab yang lebih eksklusif dengan menyamai rekod Michael Schumacher iaitu lima kejuaraan berturut-turut.
Walaupun Verstappen memenangi kejuaraan 2024 dengan 63 mata daripada Lando Norris, namun pasukan McLaren yang dipandu Norris menafikan Red Bull untuk melakar kejuaraan hatrik bagi pengeluar.
"Jika kami bersaing dengan hebat sebagai satu pasukan, saya pasti kami boleh memenanginya sekali lagi," kata Verstappen kepada pemberita ketika pelancaran Formula Satu Musim 2025 di Arena O2 London.
"Kami amat berpengalaman dan saya fikir kami sudah menunjukkan pada tahun lalu bahawa ia sedikit sukar untuk kami. Kami masih memaksimumkan keputusan kami dan saya fikir itu kekuatan besar pasukan."
Verstappen berkata, dengan ujian pramusim di Bahrain berlangsung menjelang perlumbaan pembukaan musim iaitu Grand Prix (GP) Australia di Melbourne pada 16 Mac, sukar untuk menilai prospek Red Bull.
"Saya tidak tahu di mana kami berada buat masa ini," katanya. "Saya berasa tiada siapa yang tahu dan dalam beberapa minggu kita akan tahu." - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/02/1363152/verstappen-idam-gelaran-kelima-berturut-turut
|