TIGA sekawan yang berdepan pertuduhan mengedar dadah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Tiga sekawan dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah berpeluang meraikan ketibaan Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga tahun ini selepas empat tahun melaluinya di penjara.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Nor Maslisza Ramli, 32; Muhammad Azhar Ahmat@Ahmad, 32, dan Shazuan Md Sharif, 34, daripada pertuduhan itu pada keputusan akhir kes pendakwaan, hari ini.
Mahkamah memutuskannya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh terbabit.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka yang turut didakwa atas pertuduhan yang sama, Muhammad Shafiq Rohmat, 34, dipanggil untuk membela diri.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kesemua mereka didakwa mengedar dadah jenis heroin berat bersih 68.7 gram dan methamphetamine berat bersih 229.3 gram mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1957.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 11.40 pagi 7 Mei 2021 di sebuah bilik hotel di Seremban.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 30 tahun.
Terdahulu, Rohani turut menasihatkan kesemua tertuduh supaya berhati-hati memilih kawan.
"Jadi hati-hati kalau berkawan, jangan bercampur, susah," katanya.
Sementara itu, Shazuan dan Muhammad Azhar yang ditemui di luar mahkamah meluahkan syukur atas keputusan itu.
Shazuan yang sebelum ini bekerja sendiri memberitahu sebaik dibebaskan dia mahu menziarahi kubur ibunya, manakala Muhammad Azhar pula tidak sabar mahu berjumpa dua anaknya yang berusia sembilan dan tujuh tahun.
Kesemua tertuduh itu masing-masing diwakili peguam, Roseli Abdul Gani, S Paul Krishnaraja, S Puspanathan, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi.
Disiarkan pada: Februari 28, 2025
|