Jelebu: Semua pentadbir sekolah wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetap dalam melaksanakan aktiviti sukan dan kokurikulum.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar berkata, antara SOP itu adalah keperluan mendapat kebenaran ibu bapa serta penilaian risiko sebelum aktiviti dijalankan.
Katanya, sekolah juga diingatkan mematuhi panduan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 9 Tahun 2000 dan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bil 3 Tahun 2023 yang diedarkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah terutama ketika kejohanan merentas desa di peringkat sekolah.
"Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sudah melaksanakan aktiviti sukan dan kokurikulum mengikut takwim bermula dengan aktiviti merentas desa dan diikuti 23 jenis sukan lain selepas ini.
"Oleh yang demikian, sekolah perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Malah guru, murid dan pelajar perlu diberi taklimat keselamatan sebelum sebarang aktiviti luar sekolah dan lasak dijalankan.
"Selain itu semua peralatan dan kelengkapan yang digunakan dalam setiap aktiviti mesti berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan," katanya semalam.
Khalidah berkata pengawasan berterusan dan pemantauan rapi oleh guru dan fasilitator bertanggungjawab adalah perlu bagi memastikan keselamatan murid dan pelajar sepanjang aktiviti dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan kejadian seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, Kedah, meninggal dunia selepas menyertai aktiviti merentas desa, Khamis lalu..
Mangsa, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dipercayai rebah selepas berjaya menamatkan merentas desa sejauh enam kilometer itu sebaik tiba di garisan penamat sekolah berkenaan.
Disiarkan pada: Mac 1, 2025
|