AMINUDDIN pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Seremban: "Ansuran bulanan wajib bayar, hanya sekitar RM40 sebulan, jangan beranggapan rumah kerajaan percuma, tak baik macam itu," kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung tindakan penyewa culas membayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata, wang kutipan sewa yang diperoleh itu digunakan bagi menceriakan kawasan perumahan selain penyelenggaraan termasuk kutipan sampah sarap.
Katanya, penyewa harus bersama-sama dengan kerajaan dan sekiranya mereka mempunyai tunggakan boleh berunding bagi membayar secara ansuran.
"Namun sikap dan tindakan penyewa yang seakan mengabaikan tanggungjawab membayar sewa adalah tidak wajar.
"Malah terdapat penyewa mengambil kesempatan menyewakan rumah itu kepada pihak ketiga pada harga sewaan jauh lebih tinggi, ini sesuatu yang tidak elok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mencabut enam pintu rumah penyewa PPR Lobak, di sini, selepas didapati mereka gagal menjelaskan tunggakan sehingga ada yang mencecah RM34,000.
Aminuddin berkata, kerajaan menanggung kos pembersihan dan penyelenggaraan PPR terbabit, namun jika penyewa tidak membayar sewa, ia akan menjejaskan urusan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, penyewa terbabit bukannya tiada wang tetapi sengaja tidak mahu bayar.
"Saya lihat komen-komen, nampak mereka setuju supaya tindakan diambil. Kebanyakan rumah ada Astro dan boleh bayar, tapi kenapa tempat tinggal mereka abaikan? Mereka anggap kerajaan punya tak perlu bayar.
"Justeru kita sedang mempertimbangkan untuk buat pemutihan kerana berpuluh nama asal tiada dalam rekod dan bertukar kepada anaknya tetapi mereka tidak pergi kepada pihak berkuasa tempatan bagi memperbaharui dan menyelesaikan isu ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sejumlah RM5.1 juta sumbangan Ramadan dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan disampaikan untuk masjid dan surau di negeri ini.
"Ia membabitkan 311 buah masjid dan 1,199 surau di seluruh negeri," katanya.
|