|
Faizal Tampilkan Kreativiti Muzik Di Konsert Solo
Walaupun sibuk dengan program Mentor, pembikinan album baru dan lain-lain komitmen kerja, Faizal Tahir tidak pernah lupa untuk menghargai peminat-peminatnya.
Pada 1 Julai ini, Faizal Tahir kembali menghiburkan peminat yang sudah merindui kelantangan suaranya menerusi konsert penuh solo pertama. Berlangsung di KL Live, konsert selama satu jam ini lebih menumpukan kepada kreativiti dalam susunan muzik berbanding aspek visual dan gimik persembahan.
“Saya ingin memberikan muzik yang bagus kepada peminat. Saya percaya gimik persembahan lebih sesuai untuk program TV”, kata Faizal di sidang media Konsert Faizal Tahir di Hard Rock Kuala Lumpur baru-baru ini.
Faizal menganggap konsert kali ini sebagai kayu pengukur dalam kerjayanya. “Saya masih baru dalam industri hiburan dan konsert ini diadakan untuk menilai pencapaian saya dalam industri ini”, katanya.
Dianjurkan oleh syarikat Zackkoolg dengan kerjasama The 8 Unit, dianggarkan sekurang-kurangnya 2,000 orang akan hadir memeriahkan konsert ini.
“Akhir-akhir ini, ramai artis antarabangsa yang datang ke Malaysia. Jujur, saya risau konsert ini tidak mendapat sambutan selain kebarangkalian berlakunya masalah teknikal dan sebagainya. Tapi saya akan tetap memberikan yang terbaik”, kata Faizal.
Pada konsert itu nanti, Faizal akan menyanyikan 10 buah lagu termasuk lagu-lagu popularnya dan juga ‘cover songs’ dengan cara tersendiri.
Konsert ini juga diadakan seiring dengan perlancaran album ketiga Faizal. Menurutnya, album ini berbeza dengan album-album sebelum ini.
“Saya anggap album ini sebagai eksperimen bagi muzik baru. Ianya memang berbeza dari album Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin”, katanya.
Tiket konsert ini berharga RM98, RM138, dan RM300 dan boleh didapati di www.ticketpro.com.my mulai 1 jun.
Diskaun sebanyak 20% bagi mereka yang mendapatkan tiket ini dari 1 hingga 15 Jun. |
|