DIANGGARKAN 80 peratus orang dewasa pernah mengalami masalah sakit belakang dan sakit pinggang dalam kehidupan mereka dan kira-kira 50 peratus pula mengalami sakit leher atau sakit tengkuk. Malah, sakit belakang/pinggang dan sakit tengkuk atau leher adalah kesakitan paling lazim yang memaksa pesakit bertemu doktor, selain menjadi penyebab utama kecacatan, meninggalkan kerja dan membabitkan kos penjagaan kesihatan yang tinggi. Secara perubatan, leher dan bahu terdiri daripada otot, tulang, saraf, arteri dan salur darah, begitu juga ligamen dan struktur sokongan lain. Banyak keadaan yang boleh menyebabkan sakit leher dan belakang khususnya kawasan sekitar bahu dan pinggang. Ada yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan trauma serta keadaan lain seperti bebanan.
Perlu diketahui, antara tabiat buruk menyebabkan sakit belakang:
- Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu.
- Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja.
- Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat.
- Berdiri terlalu lama.
- Membawa barang yang beratnya tidak seimbang.
- Duduk membongkok di kerusi.
- Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin.
- Memakai kasut bertumit tinggi.
Pengguna komputer yang habitual dan tidak berdisiplin juga berkemungkinan mendapat serangan MSD seperti sakit pinggang, sakit bahu dan sakit leher. Dapatkan maklumat lanjut di blog ergonomi dan facebook Amalan Terbaik Komputer.
|