|
SERI ISKANDAR - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah sedang mengesan 10 individu bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes jenayah yang berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pengesanan 10 individu itu amat diperlukan bagi memastikan kes-kes jenayah di daerah ini dapat diselesaikan.
Menurutnya, semua mereka disyaki terlibat dalam beberapa kes termasuk kes samun, pecah rumah, mendatangkan cedera dan sebagainya.
“Antara individu yang dikesan ialah Mohamed Faizal Mohamed Amin, 35, yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor; Mohd Roshidi Hashim, 32, beralamat di Kampung Tepus, Parit; Syarafi Sofiyuddin Saleh, 26, beralamat Kampung Padang Changkat Bota Kanan; Mohd Firdaus Ahmad, 21, beralamat Kampung Durian Kudung, Bota Kanan; Muhammad Haffiz Azzaman, 22, beralamat di belakang klinik desa Bota Kanan; Mohamad Syawal Mohd Sapardi, 19, yang beralamat Seksyen 19 Shah Alam.
“Beberapa individu lagi turut dikesan antaranya Mohammad Aznil Abdul Latif, 20, beralamat, Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah; Mohd Kamel Ramli, 37, beralamat Keningau Sabah; Muhamad Azizi Anuar Mohd Sharif, 22, beralamat Kampung Changkat Rambai, Kampung Gajah; Wiraman Satarudin @ Haris @ Abu Bakar Idris, yang berasal dari Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengesan 10 individu berkenaan juga pihaknya telah menampal gambar-gambar berkenaan di beberapa tempat tumpuan orang ramai termasuk stesen bas, masjid, rumah-rumah kedai dan sebagainya.
“Kita amat berharap supaya masyarakat sama-sama membantu bagi memastikan kadar jenayah di daerah ini dapat diturunkan dari masa ke masa,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakri berkata, sebelum ini, polis berjaya mengesan tujuh individu dikehendaki setelah gambar mereka diedarkan kepada umum.
“Ini adalah hasil bantuan maklumat dari orang ramai dan penyiasatan pihak polis yang tidak pernah mengambil ringan mengenai perkara ini,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi nombor IPD Perak Tengah di talian 05-371 3222
— |
|