Diet yang kurang kandungan garam biasanya dikaitkan dengan pengurusan untuk penyakit tekanan darah tinggi dan juga jantung. Tetapi tahukah anda jika anda disahkan mengidap penyakit buah pinggang, doktor akan mencadangkan kepada anda supaya kurangkan pengambilan garam. Disebabkan terdapat pelbagai jenis dan tahap penyakit buah pinggang, doktor perlu menetapkan berapa banyakkah jumlah pengambilan garam yang selamat untuk anda berdasarkan rekod perubatan peribadi anda. Fungsi Buah Pinggang Buah pinggang pula memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mengekalkan tahap kesihatan anda. Ia membantu mengawal keseimbangan cecair, mengekalkan keseimbangan asid di dalam badan dengan betul, dan juga mengawal tahap sodium, potassium, klorida, kalsium, magnesium, sulfat, fosfat dan tahap hidrogen di dalam badan. Oleh kerana buah pinggang mengawal tahap cecair dan garam, ia juga berfungsi untuk mengawal tekanan darah anda. Apabila buah pinggang anda berfungsi dengan normal, ia akan sentiasa memantau tubuh badan anda dan akan mengeluarkan mineral atau cecair yang berlebihan untuk memastikan keseimbangannya dikekalkan. Jika buah pinggang anda telah hilang kemampuan untuk menapis dan mengeluarkan sisa-sisa buangan dari badan, maka anda memerlukan rawatan, termasuklah mengurangkan garam di dalam diet. Ini bertujuan untuk mengurangkan dan mengelakkan sebarang komplikasi. Garam Dan Buah Pinggang Anda Pengambilan kandungan garam yang terlalu banyak akan menyebabkan badan anda memerlukan lebih banyak pengambilan cecair. Keadaan ini akan menyebabkan buah pinggang anda terpaksa bekerja keras untuk terus mengekalkan keseimbangan cecair di dalam badan. Tetapi apabila kandungan garam di dalam badan terlalu tinggi, sampai satu tahap buah pinggang anda tidak mampu lagi untuk mengekalkan keseimbangannya. Maka tahap garam dan cecair di dalam badan anda akan terus meningkat. Keadaan ini pula akan mengakibatkan berlakunya tekanan yang berlebihan terhadap dinding saluran darah dan menjadi punca berlakunya tekanan darah tinggi. Dalam beberapa kes, tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah yang membekalkan darah kepada buah pinggang. Ini akan menyebabkan berlakunya satu keadaan yang dipanggil sebagai hipertensi nefrosklerosis, di mana ianya merupakan bentuk yang paling biasa untuk penyakit buah pinggang. Pengambilan Garam Harian Penyakit buah pinggang boleh juga disebabkan oleh kencing manis kerana tahap gula di dalam darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik boleh merosakkan kebanyakan organ-organ badan, termasuklah buah pinggang. Walaupun jarang berlaku, terdapat gangguan genetik dan keadaan-keadaan keradangan yang boleh juga menghalang buah pinggang dari berfungsi dengan betul. Tidak kiralah apa puncanya, adalah penting bagi pesakit buah pinggang menghadkan pengambilan garam tidak lebih daripada 2300 mg setiap hari, bersamaan dengan satu sudu teh. Oleh kerana keperluan garam untuk setiap individu adalah berbeza, doktor boleh mencadangkan sukatan yang lebih rendah untuk anda. Tahap-Tahap Penyakit Buah Pinggang Jumlah pengambilan garam yang selamat sebahagiannya adalah bergantung kepada tahap penyakit buah pinggang anda. Doktor akan melakukan beberapa ujian untuk menentukan apakah buah pinggang anda berfungsi dengan baik dan apakah rawatan terbaik yang boleh diambil. Pada tahap permulaan penyakit buah pinggang, pengambilan ubat-ubatan dan perubahan diet yang sederhana mungkin cukup untuk mengawal keadaan anda, tetapi jika penyakit buah pinggang anda berada di tahap akhir, mungkin memerlukan rawatan dialisis dan satu pelan diet yang lebih ketat. Di peringkat awal penyakit buah pinggang mungkin tiada tanda-tanda amaran atau pun gejala-gejala, jadi pemeriksaan secara kerap perlu dilakukan untuk menentukan rawatan, contohnya seperti mengurangkan pengambilan garam. Rawatan sebegini perlu dimulakan ketika penyakit buah pinggang masih diperingkat awal dan mudah untuk dirawat.
|