LONDON - Pasukan underdog, Benfica dilihat lebih bagus dari aspek teknikal berbanding Chelsea menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam final Liga Europa di Amsterdam Arena awal pagi esok. Demikian kata bekas pengendali Benfica, Sven-Goran Eriksson. "Chelsea memang pasukan yang seimbang selain memiliki pemain yang terkemuka. Cuma bagi saya, teknikal pemain Benfica jauh lebih bagus. "Mereka mampu menguasai bola dengan baik serta mempamerkan aksi yang sempurna," katanya. Untuk rekod, Benfica pernah mendakap trofi Liga Europa bagi dua musim berturut-turut bermula 1961. Mereka kini memiliki beberapa perancang utama seperti Eduardo Salvio, Nicolas Gaitan, Pablo Aimar, Ola John dan Nemanja Matic yang mampu memberikan hantaran berkesan terhadap jentera serangan yang diterajui Oscar Cardozo, Lima dan Rodrigo. Ketiga-tiga penyerang itu telah mencetak 71 gol daripada 118 jumlah jaringan Benfica musim ini. Eriksson yang mengendalikan pasukan Portugal itu semasa tumpas 0-1 kepada AC Milan pada final Liga Europa 1990 di Vienna juga percaya pemain Benfica telah pun melupakan kekalahan 1-2 kepada Porto dalam aksi liga domestik, Ahad lalu. "Final Liga Europa sesuatu yang cukup unik dan saya percaya pemain Benfica telah melupakan kekecewaan ditewaskan Porto sebaik melangkah ke tengah padang," katanya. Untuk rekod, Eriksson nyaris membawa Benfica meraih gelaran trebel pada 1983 sebelum tumpas 1-2 kepada Anderlecht dalam final Liga Europa. Beliau sebelum itu berjaya membantu Benfica menjuarai Liga Portugal dan Piala Portugal pada musim yang sama. Sepanjang mengendalikan Benfica, Eriksson juga berjaya membantu kelab itu menjuarai Liga Portugal sebanyak tiga kali
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz2TKW5q87R
Hakcipta terpelihara
|