Ketika mula dibeli Arsenal awal musim 2014/2015, ramai yang beranggapan bintang kelahiran Chile itu pasti bergelut untuk menyesuaikan diri kerana EPL terkenal dengan corak permainan jauh berbeza berbanding La Liga di mana Alexis Sanchez mewakili Barcelona sebelum berpindah ke England. Begitupun, dia membuktikan bahawa tubuhnya yang kecil bukanlah penghalang untuknya melonjakkan karier dan kini, kelibatnya semakin digeruni terutama selepas meledak lebih 20 gol pada musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris.
Ikuti temubual dengan pemain kesayangan pengurus Gunners, Arsene Wenger itu: SOALAN (S): Alexis, walaupun usia anda masih muda, anda sudah memiliki karier hebat selain pernah bermain di Amerika Selatan serta Eropah walaupun bermula dengan sebuah kelab kecil di Chile, Cobreloa. Bagaimana karier anda bermula? ALEXIS SANCHEZ (AS): Saya meminati bola sepak sejak kecil dan saya mula mengenali bola sepak selepas kerap bermain di jalanan kerana kami tidak mempunyai padang rumput. Ada kalanya, kami bermain di padang yang dipenuhi lumpur dan di situlah bakat saya bermula.
(S): Apa yang dapat anda ingat pada perlawanan pertama anda mewakili Cobreloa? (AS): Saya bermain dengan orang lebih tua dan bagi saya ia bukan masalah kerana saya sudah biasa bergaul dengan orang lebih tua berbanding saya. Ada kalanya saya bermain di posisi depan walaupun usia saya jauh lebih muda berbanding mereka. Saya pernah ditendang lawan kerana mereka tidak mampu menahan pergerakan saya dan faktor itulah yang memberikan motivasi buat saya.
(S): Ketika kecil, adakah anda menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen? (AS): Saya hanya bermain bola sepak dan tidak pernah berpeluang menyaksikan perlawanan di televisyen. Saya suka bermain dan tidak begitu gemar menonton. Saya suka berada di atas padang dan biarkan orang lain yang melihat persembahan saya.
(S): Apakah saat paling gembira buat anda ketika masih di zaman kanak-kanak? (AS): Kalau tidak silap, ia ketika saya memberitahu keluarga bahawa saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional. Mulanya ia seolah-olah mimpi tetapi akhirnya ia menjadi kenyataan.
(S): Di mana anda belajar menjadi seorang pemain bola sepak sebenar? (AS): Saya banyak belajar ketika berlatih di jalanan selain menyertai perlawanan persahabatan menentang pasukan kejiranan dan itulah senario sebenar di kebanyakan negara Amerika Selatan. Selain itu, saya juga belajar dari pelbagai kejohanan besar serta liga yang saya sertai.
(S): Mengapa anda memilih bola sepak dan memutuskan untuk terbabit di dalamnya? (AS): Setiap kali bermain, saya dapat melupakan semua masalah dan saya seronok dapat berkumpul bersama rakan sepermainan di padang.
|