Edited by cmf_BeachBoys at 17-7-2018 01:37 AM
KEMAMAN 16 Julai - Dua daripada 21 deretan kedai menjual lemang di pinggir jalan raya di kawasan yang diberi jolokan Wilayah Lemang Kijal musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 11 malam yang turut mengejutkan kalangan pengguna jalan raya itu dipercayai bermula di bahagian belakang premis tersebut akibat dari percikan api dari timbunan sisa buluh lemang yang dibakar tidak jauh dari premis itu.
Pemilik kedai, Yassin Mohammad, 64 , ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya di Kampung Darat, Bukit Kemuning selepas selesai berniaga.
“Apabila mendengar tentang kebakaran a itu daripada kawan-kawan saya terus bergegas ke kedai dan apabila tiba di sana, saya lihat api sedang marak tapi tidak mampu untuk buat apa-apa,”katanya.
Menurutnya, dia tidak sempat untuk menyelamatkan beberapa barang dan peralatan untuk berniaga yang disimpan di dalam kedai itu.
“Memang sedih bila melihat kedai yang menjadi warisan keluarga musnah namun saya redha dengan terjadi ujian kepada kami, “ katanya.
Sementara itu, pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kijal, Pegawai Bomba Kanan II , Nor Yusri Yusop ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada pukul 11.30 malam dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sebuah jentera bersama enam orang anggota.
Pihaknya turut menerima bantuan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bersama kekuatan lapan orang anggota dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 12 tengah malam.
Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.15 tengah malam, dan pihaknya akan melakukan siasatan bagi menyiasat punca sebenar kebakaran.- UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/dua-unit-kedai-lemang-hangus-1.710067#ixzz5LRLlERyL
© Utusan Melayu (M) Bhd
|