Edited by Vellfire at 5-8-2021 03:05 PM
Tunjuk bukti vaksinasi sebelum masuk pasar raya di Sibu Jaya dan Selangau
SIBU: Pengunjung pasar raya dan beberapa kedai runcit di Sibu Jaya dan Selangau dikehendaki menunjukkan bukti mereka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, berkuat kuasa 7 Ogos.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Wong Ching Yong (gambar) berkata peraturan ini adalah untuk mencegah penularan virus COVID-19, terutama varian Delta yang mudah tersebar.
"Semua pasar raya dan beberapa kedai runcit di Sibu Jaya dan Selangau telah bersetuju dengan permintaan kami untuk melaksanakan peraturan baharu dan mudah-mudahan ini akan membantu menghentikan penyebaran virus COVID-19," katanya kepada pemberita ketika sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
Terdahulu, Wong mengadakan pertemuan menggunakan aplikasi Zoom dengan semua pemilik pasar raya dan kedai runcit di Sibu Jaya dan Selangau mengenai keperluan pelanggan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke premis mereka.
"Mereka setuju dengan sebulat suara dengan cadangan kami," tambahnya.
Wong berkata pasukan penguatkuasa MDLBS tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas individu yang didapati mengingkari peraturan baharu tersebut dalam tempoh percubaan (7 Ogos) kerana ini lebih kepada cadangan kesedaran atau didikan untuk meyakinkan orang ramai tentang perlunya mendapatkan vaksin.
Beliau mengatakan MDLBS akan menunggu arahan selanjutnya dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sekiranya terdapat keperluan untuk mengenakan sebarang tindakan mengenai perkara tersebut.
"Pada masa ini, seluruh niat kami adalah untuk membimbing dan mendidik masyarakat agar sedar betapa pentingnya vaksin," tambahnya.
Untuk memasuki premis berkenaan, Wong berkata, pengunjung mesti memberikan bukti vaksinasi mereka sama ada menunjukkan sijil vaksinasi digital mereka di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi manual kepada kakitangan pasar raya atau kedai runcit.
Beliau mengatakan dengan peraturan baharu itu secara tidak langsung pihaknya mendorong semua orang untuk melakukan vaksinasi.
Wong juga tidak menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka di bawah usia 18 tahun ketika mereka pergi membeli-belah kerana anak-anak mereka tidak akan dibenarkan masuk.
"Kerana undang-undang ketika ini belum menetapkan anak-anak berusia di bawah 18 tahun untuk vaksinasi, kita tidak punya pilihan selain mematuhi peraturan dan undang-undang tersebut," tambahnya lagi.
Utusan borneo/2021/08/05
|