[size=0.8]Zuliaty Zulkiffli - Ogos 19, 2021 @ 5:43am[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/jerai_1629322983.jpg)
Keadaan sebuah chalet yang musnah di Kampung Setol disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
YAN: Seorang maut, manakala tiga lagi dilaporkan hilang, selepas dihanyutkan air deras dalam fenomena kepala air dan tanah runtuh di Pusat Rekreasi Titi Hayun, semalam.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata setakat ini hanya seorang mangsa ditemui selamat dan dibawa turun dengan bantuan pasukan penyelamat.
Beliau berkata, operasi mencari tiga lagi yang masih hilang masih diteruskan sehingga jam 1 pagi.
"Seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Operasi pencarian mangsa akan disambung pagi ini dengan bantuan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung," katanya awal pagi ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi jam 4.28 petang.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa di lokasi adalah seramai 22 orang.
"Setakat ini seorang mangsa ditemui meninggal dunia, seorang cedera dan tiga lagi masih hilang.
"Ketika pasukan keluaran tiba di lokasi, kenderaan Bomba tidak boleh memasuki kawasan itu disebabkan arus kuat.
"Komander operasi melaporkan terdapat beberapa yang berada berhampiran alur air terjun dipercayai tenggelam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, paras air ketika pasukan tiba dianggarkan lebih satu meter.
Katanya, komander operasi bersama anggota melakukan penyelamatan dan pencarian selepas keadaan air mulai surut.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan selanjutnya.
"Pada jam 1.05 pagi, PKB Jerai lapor operasi ditangguhkan dan akan memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 8 pagi ini," katanya.