[size=0.8]Zuliaty Zulkiffli - Ogos 19, 2021 @ 9:18pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/19hmjmps_1629379070.jpg)
Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa keempat dihanyutkan kepala air dari Gunung Jerai, Mohd Faizal yang ditemui di kawasan KEDA Sungai Udang. FOTO NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
YAN: Mangsa keempat yang maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai semalam, ditemui di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang di sini, jam 3.10 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, yang hilang di Titi Hayun, ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, dengan penemuan itu, ia menjadikan jumlah mangsa yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian semalam adalah empat orang, seorang selamat dan dua masih hilang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di sekitar kawasan Titi Hayun, di sini," katanya kepada media, hari ini.
Setakat jam 4.30 petang tadi, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang selepas dihanyut banjir yang berlaku kira-kira jam 5 petang semalam.
Selain Mohamad Faizal, turut maut akibat dibawa arus kepala air ialah Zahinor Murad, 65, yang ditemukan pada 12.10 tengah malam tadi dan Ahmad Din, 64, yang ditemukan kira-kira 6.30 petang semalam.
Seorang lagi mangsa ialah pekerja The Jerai Hill Resort, Sharuzi Mohamad, 53, ditemukan meninggal dunia di kawasan tanah runtuh di Gunung Jerai pada 10.35 malam Rabu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, dua lagi mangsa masih hilang iaitu seorang di kawasan Titi Hayun dan seorang di Batu Hampar.
"Mungkin mangsa tertindih atau tertimbus sisa banjir, memerlukan pencarian teliti dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan dua unit dron dari JBPM Kedah untuk memantau operasi pencarian dari udara bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang.