|
JDT belasah BRM FC 10-0
Penjaga gol BRM FC, Kamarul Effandi Abdul Rahim menampan bola sepakan pemain JDT, Fernando Martin Forestieri pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam tadi. JDT menang 10-0. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) terlalu unggul apabila kenduri gol ke atas BRM FC dengan membelasah kelab Liga M3 itu 10-0 pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas bola sepakan lintang Safawi Rasid pantas dirembat Fernando Forestieri untuk menewaskan Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Anak didik Mora enggan memberi muka buat pasukan pelawat apabila menambah jaringan pada minit kelapan menerusi Safiq Rahim, berpunca daripada bola rembatan deras Forestieri yang ditampan Kamarul Effandi.
Tuan rumah terus menambah derita kelab dari Kuala Kangsar itu pada minit ke-19 selepas bola sepakan Safawi dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang. Pada minit ke-25 Forestieri mencetak gol kedua peribadi bagi memastikan tuan rumah selesa dengan kedudukan 4-0.
Pemain Pasukan JDT, Fernando Martin Forestieri menjaringkan gol pada pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA antara Pasukan JDT menentang BRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pemain Pasukan JDT, Mohamadou Sumareh ketika aksi pada pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA antara Pasukan JDT menentang BRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pemain JDT, Daniel Amier (tengah) meraikan jaringan gol ke-10 bersama rakan Pasukan JDT pada pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA antara Pasukan JDT menentang BRM FC walaupun hujan lebat di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Forestieri kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-42 selepas menyempurnakan penalti susulan kekasaran kekasaran ke atas Bienvenido Maranon untuk memastikan JDT melangkah masuk ke bilik persalinan bagi mengakhiri babak pertama dengan jaringan 5-0.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan mendominasi perlawanan tanpa memberi ruang buat BRM FC mencari ruang mengasak ke kubu tuan rumah untuk jaringan keenam pada minit ke-56, selepas Mauricio menanduk bola hasil sepakan sudut Safiq.
Tindakan Mohamad Haiqal Afendi Norizat Anuar mengasari pemain gantian Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti mengundang padah bukan sahaja dihadiahkan penalti kedua buat JDT, malah pemain itu dilayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah yang menyebabkan BRM FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Pemain gantian, Moussa Sidibe yang diberi tugas mengambil sepakan penalti pada minit ke-69 tenang menewaskan Kamarul Effandi manakala Daryl Sham George yang pertama kali beraksi bersama JDT turut menyumbang gol pada minit ke-82.
Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan Sumareh mencetak nama selaku penjaring dan Daniel Amir Norhizam turut menjaringkan gol pada masa tambahan bagi memastikan JDT menang besar 10-0 pada perlawanan itu
https://www.bharian.com.my/sukan ... belasah-brm-fc-10-0
|
|
|
|
|
|
|
| |
|