|
'Kuda tua' semakin berisi
Safiq Rahim.
Kuala Lumpur: Dalam dunia bola sepak moden, pemain dalam kategori 'kuda tua' tidak lagi boleh dianggap sebagai sudah berada dalam situasi tarikh luput untuk dipilih mewakili negara di pentas antarabangsa.
Pemain veteran ini sebenarnya semakin berisi seperti dipamerkan oleh tonggak berpengalaman Harimau Malaya, Safiq Rahim yang dilihat masih lagi lincah di atas padang apabila mampu mengawal dan mengatur serangan dengan baik ketika perlawanan persahabatan Siri Tiga Negara menentang Filipina dan Singapura di Stadium Nasional, Singapura, baru-baru ini.
Walaupun berusia 36 tahun, Safiq yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap 'steady' dengan corak permainan intensiti tinggi yang diperkenalkan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon selain tidak berhadapan masalah beraksi bersama pemain lebih muda.
Perkara terbabit diakui jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah yang cukup kagum dengan kemampuan Safiq apabila mampu beraksi dengan baik walaupun usianya sudah memasuki kategori 'kuda tua'.
Beliau berkata, kemampuan dan kebolehan yang ditampilkan oleh Safiq mempunyai kaitan dengan latihan intensiti tinggi bersama kelabnya sekali gus mampu mengekalkan momentum ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Bagi saya, prestasi turun dan naik yang dipamerkan Safiq sebelum ini mematangkannya untuk terus mempamerkan aksi mantap apabila mendapat panggilan mewakili negara.
"Jika dilihat pada perlawanan persahabatan di Singapura, Safiq bukan lagi seperti dahulu yang cepat melenting kerana terdapat insiden di tengah padang dan keputusan pengadil tidak menyebelahi skuad Harimau Malaya namun dia kekal tenang mengawal emosi.
"Usia 36 tahun tiada masalah untuk buktikan panggilannya mewakili negara tetap berbaloi dan mampu membantu pasukan mencipta keputusan positif," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Berdasarkan dua perlawanan menentang Filipina dan Singapura baru-baru ini menyaksikan Safiq menjadi pilihan utama Pan-gon untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Malah, Safiq bijak mengemudi bahagian tengah dan serangan skuad Harimau Malaya selain hampir mencetak nama sebagai penjaring gol pada pertemuan menentang Singapura sebelum dinafikan penjaga gol lawan.
Sebelum ini, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa bekas ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe tidak memanggil Safiq bagi memperkuatkan Malaysia untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang menyaksikan Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Sementara itu, Azraai berkata, pujian harus diberikan kepada beberapa pemain lain seperti Shahrul Saad, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Corbin Ong dan Syamer Kutty Abba yang masih lagi berbisa apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Mereka tahu tugas masing-masing apabila dipilih menyarung jersi skuad Harimau Malaya. Paling penting adalah kurang melakukan kesilapan dan sentiasa bersedia diturunkan mewakili negara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -tua-semakin-berisi
|
|