View: 457|Reply: 2
|
[Kelantan]
Tapak warisan di Kelantan ‘hilang’ jadi pekan, perumahan
[Copy link]
|
|
TAMAN Serendah Sekebun Bunga yang dibina Cik Siti Wan Kembang di Ketereh, Kota Bharu dilihat semakin daif dan terbiar tanpa dipulihara selepas dilanda banjir beberapa kali. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
KOTA BHARU: Kelantan memiliki banyak tapak warisan Melayu purba dan tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua, namun, kebanyakannya ‘hilang’ sedikit demi sedikit selepas dibangunkan menjadi pekan serta kawasan perumahan.
Antara yang dikatakan lenyap ditelan zaman ialah pusat pemerintahan Kelantan pada abad ke-18 iaitu Kota Kubang Labu di Wakaf Bharu, Tumpat yang kini sudah berubah wajah menjadi antara pekan tersibuk di jajahan itu.
Turut ‘terkorban’ ialah kota dibina Raja Abdullah untuk isterinya, Puteri Saadong pada abad ke-17 yang digelar Kota Jelasin, di sini. Tapaknya kini dibangunkan menjadi kompleks Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan.
Sementara itu, Pantai Sabak di Pengkalan Chepa yang menjadi lokasi pendaratan pertama Jepun di Malaya serta pertempuran pertama Perang Dunia Kedua di rantau Asia Pasifik pada 1941 pula ‘hilang’ akibat hakisan pantai sehingga satu kilometer.
Lalang Luas di Machang yang pernah menjadi lapangan terbang khusus untuk pertahanan udara Malaya ketika Perang Dunia Kedua juga sudah berubah wajah menjadi kawasan perumahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan (PPSK), Hassan Mohd. Noor berkata, menyedari nilai sejarah padanya, tapak-tapak tersebut pernah dicadangkan supaya dipulihara dan dijadikan lokasi pelancongan.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya dimaklumkan cadangan tersebut sukar direalisasikan kerana kerajaan memerlukan belanja besar untuk membayar pampasan kepada pemilik tanah dan bangunan.
“Seiring dengan peredaran masa, lokasi ini semakin dilupakan sehingga ramai generasi baharu sudah tidak mengetahui kisah sejarah dan latar belakangnya yang sebenar,” katanya di sini baru-baru ini.
Hassan dalam pada itu berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif kerajaan mengekalkan tapak warisan dan tinggalan sejarah lain seperti Bukit Marak di Bachok yang terkenal sebagai tempat bersemayam Puteri Saadong.
Selain itu katanya, turut dikekalkan sebagai lokasi pelancongan ialah Kota Tegayong diasaskan Cik Siti Wan Kembang yang di dalamnya terdapat lokasi tersohor dipanggil Taman Serendah Sekebun Bunga.
“Taman yang menjadi tempat bersiram Puteri Saadong ini pernah terbiar dan hampir tidak diketahui kewujudannya sebelum Majlis Perbandaran Ketereh mengetengahkannya sebagai salah satu lokasi pelancongan.
“Cuma, selepas terlalu kerap dilanda banjir, taman terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh ini sekarang agak daif. Kita harap sangat kerajaan negeri segera bertindak untuk memulihara taman ini,” katanya.
Tambah Hassan, antara tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua yang masih wujud hingga ke hari ini dan dipulihara dengan baik termasuklah Kubu Perang Tentera British di Pengkalan Chepa, Pulau Kundur dan Bachok. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita ... di-pekan-perumahan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Makam langgar buruk dah nak jadi kondo dah kot.
|
|
|
|
|
|
|
|
semua berubah demi pembangunan dan keuntungan pihak tertentu. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|