|
Kuala Terengganu: Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi penipuan menggunakan nama Ketua Polis Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pihaknya mengesan notis tangkapan kononnya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi WhatApps.
Katanya, PDRM negeri tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat arahan untuk membuat tangkapan termasuk notis kehadiran atau memo dalaman ditandatangani Ketua Polis Terengganu.
"Notis itu dipercayai dilakukan individu yang menyamar sebagai polis untuk menakutkan mangsa serta ugutan bagi mendapatkan wang.
"Notis palsu itu turut mengandungi butiran lengkap seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, nombor fail kes serta memperkenalkan diri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri," katanya melalui kenyataan hari ini.
M Zambri berkata, kaedah menyamar sebagai polis dan menggunakan notis tangkapan palsu itu bertujuan menakutkan mangsa.
Justeru, katanya, polis meminta dan menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada balai polis berdekatan jika menerima notis ugutan itu.
"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat ke CCID Response Centre di talian 03-2610 1559 dan 03-26101599 dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ngganu-untuk-menipu |
|