|
BURUH Indonesia ditetak di luar rumah kongsi di Mukim Ganchong, Pekan. FOTO Ihsan Polis.
Pekan: Buruh warga Indonesia maut dipercayai ditetak rakan senegara dalam kejadian di rumah kongsi ladang di Mukim Ganchong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi ketika mangsa dikenali Selamet, 45, hendak ke tandas yang terletak di luar rumah kongsi itu.
"Suspek didakwa muncul secara tiba-tiba dan mengamuk sambil memegang sebilah parang. Dia kemudian didakwa menetak mangsa pada siku tangan kiri, bahu kanan dan kiri, leher kanan, kepala, dahi dan dagu selain menyebabkan telinga kanan mangsa putus.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tetakan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa yang tinggal di situ, melihat suspek mundar-mandir dengan membawa parang kira-kira 30 minit sebelum kejadian, namun suspek kemudiannya dilihat pulang semula ke rumahnya yang terletak 50 meter dari rumah yang didiami mangsa.
Katanya, suspek yang berusia 32 tahun berjaya ditahan semasa berada di tepi Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan pada 7.30 pagi semalam, seterusnya membawa kepada penemuan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... onesia-maut-ditetak |
|