|
Aini menunjukkan gambar Simon yang baru diambil dua hari lalu. - NSTP/PAYA LINDA YAHYA
GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Brooke di Kampung Teluk Untung, Kuala Betis, semalam.
Dalam insiden kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Simon dikatakan keluar bermain bersama dua rakan berumur tiga dan empat tahun.
Ibu mangsa, Aini Sarip, 26, berkata ketika kejadian, beliau sedang membasuh pinggan di rumah dan tidak menyedari anaknya keluar bermain bersama rakan.
"Kebiasaannya, dia hanya bermain di sekitar kawasan rumah. Apabila menyedari anak tiada, saya terus mencarinya.
"Ketika bertemu dua rakan Simon, mereka memberitahu bahawa anak dihanyutkan arus. Saya terus berlari ke sungai terletak kira-kira 100 meter dari rumah untuk mencari Simon tetapi tidak menjumpainya.
"Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari Simon, namun anak belum dijumpai hingga kini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Untung, hari ini.
Aini berkata, beliau kini buntu memikirkan keadaan Simon dan amat berharap anak bongsunya itu dapat ditemui secepat mungkin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 1.55 tengah hari semalam yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disyaki lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Brooke.
"Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama bantuan penduduk kampung.
"Pencarian dilakukan di sekitar tepi sungai di lokasi mangsa dipercayai terjatuh dan meliputi sejauh satu kilometer ke hilir sungai. Setakat ini, mangsa belum ditemui.
"Operasi pencarian diteruskan, hari ini, dengan bantuan bot dan anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ai-dikhuatiri-lemas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|