|
MUKAH: Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyeru para petani untuk mengubah minda serta pemikiran terhadap industri pertanian.
Menurutnya, industri pertanian sangat berkait rapat dengan industri makanan dan boleh mendatangkan keuntungan.
"Kita harus ubah pemikiran dan minda, pertanian boleh menjana wang dan mendatangkan keuntungan," katanya ketika perjumpaan bersama pekebun kecil rumbia dan nanas di Dalat pada Rabu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research Sdn Bhd Zaidell Hussaini.

Dr Rundi dan Fatimah ketika mendengar taklimat pada salah satu sesi lawatan mereka di Dalat pada Rabu.
Pertanian katanya, tidak asing bagi kebanyakan penduduk di negeri ini namun ia hanya diusahakan secara tradisional dan untuk kegunaan seharian.
Bagaimanapun jelas beliau, kaedah seperti itu tidak lagi dapat digunakan dalam memenuhi terutama keperluan secara besar-besaran atau global.
Industri pertanian katanya, memerlukan perubahan dari segenap aspek terutama teknologi untuk diusahakan secara besar-besaran.
Penggunaan tenaga manual secara tradisi tidak lagi relevan jika mahu melihat hasil pertanian dituai secara besar-besaran, tambahnya.
Ia katanya, turut harus didatangi dengan kesedaran dalam diri bahawa industri pertanian merupakan industri yang boleh mendatangkan keuntungan.
Ini jelasnya lagi, telah terbukti melalui keadaan negara-negara maju lain yang telah mencapai kejayaan melalui industri berkenaan.
"Melalui teknologi, kajian serta pembangunan yang baik dan sesuai, maka industri pertanian bakal turut dibantu seperti industri-industri lain," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/06/23
|
|