
Operasi pencarian mangsa digerakkan di perairan Sampun, Asajaya hari ini.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, mangsa dikenali sebagai Fadrull Razzie Zaini, 28.
Menurutnya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima laporan daripada pihak polis berhubung insiden tersebut pada jam 12.40 tengah hari.
"MRSC Kuching menggerakkan Bot Kilat 22 ke lokasi kejadian dan menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sampun Laut, Asajaya.
"Insiden turut disalurkan kepada agensi sahabat yang terlibat dan komuniti maritim setempat," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mangsa dipercayai terjatuh ke laut sekitar jam 5 pagi dan usaha menyelamat turut dilakukan oleh rakan-rakannya sebelum laporan polis dibuat, katanya.
"Mangsa semasa kejadian memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan berseluar panjang," jelasnya.
Zin Azman dalam kenyataan tersebut turut menasihatkan komuniti maritim agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik.
"Batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, pastikan memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti (Personel Located Beacon)," katanya.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak menerusi talian 082-432544/432016 atau MERS 999.
|