Gua Musang: Penduduk orang Asli di beberapa perkampungan di daerah ini mendakwa, tindakan peminat sukan lasak pacuan empat roda yang menjadikan jalan ke penempatan mereka sebagai laluan untuk aktiviti Itu menjadikannya rosak teruk terutama pada musim tengkujuh.
Justeru penduduk di beberapa pos antaranya Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Gob berharap tiada lagi aktiviti sukan lasak di laluan menuju ke penempatan mereka terutama ketika cuaca tidak mengizinkan.
Bagi penduduk Pos Balar, Kamal Alek, 36, berkata, tindakan peminat sukan lasak Itu memburukkan keadaan apabila jalan menjadi rosak teruk.
Katanya, keadaan jalan yang rosak menyukarkan mereka untuk keluar masuk ke penempatan mereka.
"Saya harap tiada lagi aktiviti sukan lasak pacuan empat roda di jalan menuju ke kampung kami terutama pada musim tengkujuh. Tindakan ini hanya membuatkan jalan menjadi semakin rosak teruk.
"Kasihanlah....kami nak keluar beli makanan dan berurusan di bandar menjadi susah serta memakan masa yang lama," katanya ketika ditemui.
Penduduk Pos Gob, Radi Uda, 51, berkata, kira-kira lima hingga enam kumpulan peminat sukan lasak pacuan empat roda masuk ke kampung mereka bulan lalu.
Katanya, kebanyakan kumpulan ini lebih suka masuk ketika musim hujan kerana ia lebih mencabar.
"Kalau mereka datang nak baiki jalan tak apa, ini memburukkan lagi keadaan jalan sehingga menyukarkan kami untuk keluar membeli makanan asas.
"Untuk lepas bukit yang hanya sejauh 100 meter ini memakan masa sehingga tiga jam dengan motosikal. Malah turut menyukarkan bantuan untuk sampai kepada kami," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff menasihatkan supaya peminat pacuan empat roda, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya supaya menangguhkan program ke penempatan orang Asli pada musim tengkujuh.
Katanya, banyak rungutan daripada penduduk yang mendakwa keadaan jalan rosak teruk kerana aktiviti itu.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan penutupan sementara jalan ke Pos Gob bagi kerja-kerja pembaikan jalan dan pembinaan jambatan.
Laluan ini ditutup buat sementara waktu bermula dari simpang Pos Simpor sehingga ke Pos Gob dan hanya dibenarkan untuk pengguna motosikal serta kenderaan pacuan empat roda bagi kes kecemasan saja.
Menurut kenyataan itu lagi, penutupan sementara itu adalah bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor melaksanakan projek dengan lancar kerana membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembinaan jambatan yang menggunakan beberapa jentera berat.