View: 346|Reply: 0
|
[Kelantan]
Bimbang rumah hanyut, sanggup jenguk setiap 1 jam
[Copy link]
|
|
MARLINA menunjukkan air yang semakin tinggi di kawasan rumahnya di Kampung Tersang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Rantau Panjang: "Saya tidak tenang walaupun sudah selamat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana takut rumah dibawa arus deras akibat banjir," luah Wan Rohaya Abdullah, 31.
Dia mengakui berulang alik setiap satu jam dari PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'deh ke Kampung Tersang, di sini, walaupun terpaksa mengharungi air yang sudah bergenang di jalan utama ke penempatan itu sejak semalam.
Wan Rohaya berkata, dia tidak mahu menjadi mangsa seterusnya yang kehilangan rumah selepas enam keluarga diuji dengan kediaman dihanyutkan arus banjir pada Februari lalu
"Pengalaman banjir terbabit benar-benar meninggalkan kesan tragis buat kami di sini. Perasaan takut, cemas dan sedih bercampur baur kerana satu-satunya kediaman tempat kami berteduh bukan sahaja dilimpahi air malah boleh terus tenggelam sebagai mana berlaku pada bah yang lalu.
"Kami sudah berhabis ribuan ringgit membaiki rumah kerana bahagian depan runtuh pada ketika itu, tetapi hari ini sejarah seperti berulang kembali apabila banjir yang datang dilihat pada skala besar sama seperti sebelum ini.
"Saya merayu jika benar keadaan berlaku kerana projek benteng yang dibina berdekatan penempatan ini, maka mintalah pihak bertanggungjawab untuk segera menyelesaikan masalah yang ada," katanya ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini, hari ini.
Wan Rohaya yang juga ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan 10 tahun, berkata paras air di penempatan mereka masih menunjukkan peningkatan walaupun cuaca sudah tidak hujan sekali gus membingungkan semua penduduk di kampung berkenaan.
Setakat hari ini, seramai 668 mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Gual To'Deh membabitkan penduduk Kampung Bendang Perol dan Kampung Tersang
Sementara itu, bagi Marlina Ab Rahman, 42, dan suaminya, Osman Kamar, 45, terpaksa meninggalkan anak yang juga penghidap autisma di PPS buat sementara waktu untuk 'menjenguk' keadaan rumah.
"Hari ini, jalan utama masih boleh dilalui, jadi kami mengambil kesempatan untuk memastikan rumah masih selamat dan kukuh bertahan di sini. Jika air terus bertambah kami tidak berani untuk mengharunginya lagi.
"Banjir kali ini boleh dikatakan terlalu cepat, biasanya bah melanda jika hujan turun selama seminggu, tetapi kali ini hanya dalam masa dua hari, perkarangan kediaman saya dipenuhi air.
"Biasanya kami tidak pernah berpindah ke PPS kerana banjir yang berlaku hanya di perkarangan rumah namun mungkin kerana pembinaan benteng menyebabkan paras air semakin tinggi melebihi dua meter sekali gus menenggelamkan jalan utama," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pemilik enam rumah yang hanyut akibat banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, merayu kerajaan menyegerakan pembinaan kediaman ganti kepada keluarga berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... jenguk-setiap-1-jam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|