View: 346|Reply: 0
|
[Terengganu]
Bila kecoh, gali sementara!
[Copy link]
|
|
Pemandangan dari udara keadaan muara yang cetek ketika tinjauan di Sungai Merang berhampiran Jeti Merang. FOTO GHAZALI KORI
Setiu: Isu muara berkeadaan cetek Sungai Merang berhampiran Jeti Merang di sini, bukan perkara baharu yang membelenggu nelayan dan pengusaha pelancongan di sekitar kawasan berkenaan.
Masalah muara sungai cetek itu sudah dihadapi mereka sejak lebih 30 tahun lalu namun semakin serius sejak lima tahun lalu terutama ketika musim tengkujuh.
Situasi itu menyukarkan nelayan dan pengusaha pelancongan untuk keluar ke laut kerana berdepan risiko bot tersangkut atau terbalik di laluan berkenaan.
Kelihatan projek menggali dan mendalamkan muara cetek yang terbengkalai ketika tinjauan di Sungai Merang berhampiran Jeti Merang. FOTO GHAZALI KORI
Malah, mereka terpaksa mengemudi bot dengan berhati-hati apabila melalui kawasan berkenaan kerana risau tersangkut pada beting pasir.
Dianggarkan, terdapat kira-kira 600 nelayan dan pengusaha pelancongan menggunakan laluan berkenaan termasuk nelayan dari Batu Rakit dan Kampung Telaga Papan.
Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan lain memandangkan ia adalah laluan utama keluar dan masuk ke laut atau ke jeti sehingga menyebabkan mereka terpaksa berdepan risiko yang sama hampir setiap hari.
Walaupun kerajaan bertukar ganti sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, masalah sama tetap berlaku dan tidak berkesudahan.
Kelihatan bot nelayan melalui muara yang cetek ketika tinjauan di Sungai Merang berhampiran Jeti Merang. FOTO GHAZALI KORI
Dek kerana terlalu lama berdepan dengan masalah sama, golongan terbabit enggan berharap dan berputus asa namun jauh di sudut hati, mereka berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera.
Nelayan, Kamrul Mansor, 56, berkata, masalah berkenaan sudah berlarutan terlalu lama dan hingga kini, tiada sebarang penyelesaian sebaliknya ia semakin memburuk.
"Isu muara sungai ini sudah lama (tetapi) sampai sekarang tak pernah selesai, cuma bila kecoh (dibangkitkan) gali sementara (mengorek pasir bagi mendalamkan muara).
"Dalam tempoh berkenaan, kita tak menafikan ada projek mengorek pasir di kawasan muara namun ia tidak dilakukan secara konsisten.
"Ia seolah-olah tidak berkesudahan sebaliknya ia menjadi semakin teruk apatah lagi ketika musim tengkujuh," katanya.
Pengusaha bot pelancong, Azhar Darus, 41, berkata, muara itu adalah laluan keluar bukan sahaja untuk nelayan, tetapi bot yang membawa pelancong ke Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Tengah.
Katanya, masalah berkenaan dihadapi mereka sepanjang tahun dan keadaan semakin teruk ketika air surut sehingga memaksa mereka turun bagi menolak bot kerana tersangkut.
"Boleh dikatakan kami ada pengalaman turun daripada bot untuk menolaknya kerana tersangkut di beting pasir.
"Keadaan ini merosakkan bot kami kerana pasir masuk ke dalam enjin dan saya sendiri beberapa kali terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki enjin bot.
Pemandangan dari udara keadaan muara yang cetek ketika tinjauan di Sungai Merang berhampiran Jeti Merang. FOTO GHAZALI KORI
"Ia bukan sahaja membabitkan masalah kewangan, tetapi turut mengancam nyawa kami selain memberi persepsi yang buruk kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan kami," katanya.
Katanya, sudah beberapa kali kejadian bot terbalik berlaku di kawasan muara berkenaan, namun ia tidak mengakibatkan kehilangan nyawa.
"Memang ada kejadian bot terbalik, tetapi tidak mengakibatkan kehilangan nyawa kerana paras air di sini tidak terlalu dalam.
"Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk isu ini dibiarkan tanpa penyelesaian segera kerana masalah muara yang cetek sudah berlarutan terlalu lama," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ecoh-gali-sementara |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|