|
ANGGOTA bomba meneruskan SAR Muhammad Aiman Asyraf yang dikhuatiri lemas di alur Sungai Kemaman dekat Pantai Marina. FOTO Zaid Salim.
Kemaman: Operasi mencari dan menyelamat (SAR), Muhammad Aiman Asyraf Shahrulzaman, 11, yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakan di alur Sungai Kemaman dekat Pantai Marina, di sini, sudah memasuki hari kelima, namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk ditemui.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, operasi hari kelima diteruskan jam 8 pagi hari ini selepas ditangguhkan jam 11.50 malam tadi.
"Hari ini kita menggunakan kaedah putaran air menggunakan lapan bot di sekitar Pantai Marina, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian
"Kawasan itu dipilih kerana berdasarkan kes sebelum ini, kebanyakan mangsa ditemui di sekitar kawasan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Katanya, pihaknya percaya mangsa masih berada di kawasan berkenaan kerana arus di bahagian dasar berputar di kawasan pantai berkenaan sahaja.
"SAR hari ini turut membabitkan tiga pegawai dari Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), iaitu dua Pegawai Sains, Shukri Arsad dan Tan Hock Seng serta Penolong Pegawai Sains, Che Mohd Kamarul Anuar Abdullah.
"Kita berharap bantuan menerusi alat yang dikenali sebagai Flow Tracker oleh pihak UMT dapat membantu memudahkan operasi SAR," katanya.
Sementara itu, Shukri berkata, alat berkenaan digunakan untuk mengesan arah dan kelajuan arus di dasar.
"Dengan alat ini kita akan merekodkan data arus seperti arah dan kelajuan dan berharap ia dapat membantu operasi mencari mangsa," katanya.
Selain bomba dan UMT, operasi turut membabitkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan keseluruhan kekuatan 46 anggota.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aiman-belum-ditemui |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|