KANGAR: Pencerobohan nelayan Thailand dekat perairan Perlis menyebabkan hampir 100 nelayan pesisir pantai di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, di sini terjejas pendapatan harian.
Mereka mendakwa hasil laut di kawasan itu sangat berkurangan, lebih-lebih lagi ketika musim angin timur laut sekarang.
Seorang nelayan, Abdul Hamid Mokhtar, 57, berkata kebiasaannya beliau mampu meraih pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Namun, katanya, pendapatan kini purata RM1,000 sahaja sejak dan tidak berbaloi untuk meneruskan pekerjaan itu kerana mereka perlu menanggung pelbagai kos, termasuk minyak dan makanan kira-kira RM100 sehari apabila turun ke laut.
"Kadang-kala ada nelayan yang keluar awal lagi sehingga berjam-jam di laut, akhirnya pulang tangan kosong disebabkan hasil yang semakin berkurangan," katanya di sini.
Rakannya, Hamzah Ahmad, 63, pula berkata, pencerobohan bot nelayan dari Thailand yang mengaut hasil laut seperti siput retak seribu di perairan negera ini juga antara faktor menyebabkan berlakunya kemerosotan hasil nelayan pesisir pantai.
"Mereka biasanya menceroboh pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
"Apabila mereka melakukan pencorobohan menggunakan pukat, ini merosakkan ekosistem dasar laut dan menyebabkan hidupan seperti udang dan ikan tidak lagi berada di perairan ini kerana keadaan tanah dan air menjadi busuk," katanya.
Bagi peraih ikan, Mohd Shukor Chin, 60, berkata kemerosatan hasil laut yang dihadapi nelayan di kawasan itu pada kali ini agak teruk berbanding tahun sebelumnya.
"Kemerosatan hasil ini disifatkan paling buruk sejak saya menjadi peraih ikan 26 tahun lalu.
"Selain itu, faktor perubahan angin monsun timur laut ini dijangka mungkin berterusan sehingga akhir Mac ini dan pendapatan nelayan dijangka akan terus terjejas sepanjang tempoh itu," katanya.