View: 248|Reply: 0
|
[Perak]
Akibat panik, pesara lesap RM202,787
[Copy link]
|
|
Manjung: Pesara kilang berputih mata apabila sejumlah RM 202,787 miliknya lesap angkara penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima aduan mangsa berusia 65 tahun pada 1.30 petang semalam.
Katanya, penjenayah yang menghubungi mangsa menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kes jenayah yang memerlukan siasatan berkaitan akaun mangsa.
"Akibat panik, mangsa menurut kehendak penjenayah dengan menyerahkan butiran peribadi termasuk maklumat perbankan.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati wang dalam akaun bank berkurangan dan kerugian yang dialaminya adalah sebanyak RM202,787," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jumlah kes membabitkan 'phone scam' di daerah Manjung adalah 52 kes dengan kerugian RM2.1 juta bagi Januari sehingga 19 Jun.
Mengulas lanjut, Mohamed Nordin berkata modus operandi yang sering digunakan oleh suspek adalah menghubungi mangsa dan menyamar sebagai penguat kuasa, pihak polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan penghantar barang.
"Saya ingin ingatkan bahawa semua urusan agensi kerajaan hanya dilakukan di pejabat dan tidak melalui telefon. Panggilan telefon hanya untuk tujuan temujanji.
"Jadi, jangan dedah maklumat perbankan kepada mana-mana pihak," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sara-lesap-rm202787 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|