|
Fahmi (kiri) ditemubual pada siaran langsung Selamat Pagi Malaysia bertajuk Ekonomi Madani: Internet dan 5G Untuk Semua di RTM, hari ini. Foto ihsan FB Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mempergiatkan usaha bagi memastikan semua kawasan berpenduduk di negara ini dilengkapi kemudahan internet yang pantas dan stabil.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata setakat Jun lalu, kira-kira 64.7 peratus kawasan berpenduduk di negara ini sudah mempunyai kebolehcapaian internet dengan liputan 5G.
Katanya, melalui dasar baharu diperkenalkan iaitu 'di mana ada jalan, di situ ada internet', kementerian akan membantu kawasan yang kurang capaian seperti pedalaman dengan sekurang-kurangnya liputan 4G.
"Setakat ini berdasarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), liputan 4G sudah mencapai 97 peratus di seluruh negara.
"Selebihnya iaitu tiga peratus lagi kawasan yang tidak mempunyai capaian itu akan dibantu dari segi memasang menara komunikasi dan fiber optik.
"Tetapi di sesetengah tempat mungkin jauh seperti di kawasan berbukit bukau yang akan menjadi cabaran kepada penyedia perkhidmatan," katanya pada siaran langsung Selamat Pagi Malaysia, bertajuk Ekonomi Madani: Internet dan 5G Untuk Semua, di RTM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, KKD dengan kerjasama SKMM dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mengumumkan Pakej 5G RAHMAH untuk penjawat awam dan golongan B40 dengan terma tertentu.
Menyentuh aspek sektor ekonomi digitalisasi, Fahmi berkata, dengan adanya capaian internet yang stabil, murah dan laju, ia menjadi batu loncatan kepada anak muda di kawasan luar bandar untuk terus menjana ekonomi tanpa perlu migrasi ke bandar.
"Contohnya saya pernah berkunjung ke Langkawi dan melihat ramai 'reseller' wanita di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) mampu menjana pendapatan mencecah lima angka dengan hanya menggunakan capaian internet.
"Berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebanyak 23 peratus disumbangkan oleh sektor ekonomi digital dan dijangka terus meningkat sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.
"Pelaburan ekonomi digital juga dilaporkan meningkat hampir RM28 bilion pada tahun ini berikutan beberapa faktor penarik yang dilihat pelabur di negara kita," katanya.
Justeru, Fahmi berkata, konsep Ekonomi MADANI ini ialah mengurangkan jurang dan melengkapkan rakyat menjadi celik digital serta paling penting, mengetahui asas keselamatan untuk mengelak daripada 'scammer'.
"Jangan sesekali mudah mempercayai sesuatu, pastikan ia sahih atau tidak dan sebagainya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ia-dapat-liputan-5g |
|