View: 1219|Reply: 0
|
[Perak]
Nelayan dakwa ada 100 kolam udang haram
[Copy link]
|
|
SESI dialog nelayan pantai bersama agensi kerajaan diadakan di Jeti Nelayan Kuala Bagan Tiang. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Parit Buntar: Lebih 200 nelayan 'pening kepala' dengan kewujudan lebih 100 kolam udang dipercayai kolam haram di pinggiran Sungai Kurau malah sebahagiannya sedang dikorek.
Ini kerana, kolam terbabit bukan saja dibina di kawasan bukan zon akuakultur malah ia bakal menjejaskan pendapatan nelayan kerana jaraknya hanya kira-kira dua meter dengan gigi air.
Bukan itu saja, malah kolam haram terbabit dibina di kawasan seluas kira-kira 81 hektar.
Persoalannya, siapa dalang di sebalik pembinaan kolam terbabit dan mengapa pula umpama tiada tindakan susulan diambil terhadap kolam-kolam itu?
Wakil nelayan, Mohd Radzi Said, 53, berkata, isu kolam udang haram ini seakan tiada kesudahan malah kini umpama cendawan tumbuh.
Menurutnya, pada sesi dialog terdahulu dengan wakil agensi kerajaan, pihaknya menjangkakan isu terbabit akan selesai, namun berlaku sebaliknya apabila kolam haram itu semakin bertambah.
"Dulu, hanya ada dua hingga tiga kolam dibina diatas tanah seluas kira-kira 16 hektar namun kini, lebih 100 kolam dibina di atas tanah yang bukannya dalam zon akuakultur.
"Projek pembinaan kolam udang ini langsung tiada papan tanda dan kita sendiri tidak tahu siapa yang meluluskannya.
"Lebih merisaukan apabila kolam-kolam itu wujud hanya dua meter daripada gigi sungai dan sudah pasti tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan yang mana sekiranya keluasan sungai adalah 40 meter, maka kolam itu juga perlu dibuat 40 meter daripada gigi air," katanya.
Mohd Radzi ditemui pada Sesi Dialog Nelayan Pantai Bersama Agensi Kerajaan, kelmarin, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Parit Buntar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pendidikan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring).
Menurut Mohd Radzi, pelbagai aduan sudah dikemukakan termasuk di media namun isu terbabit bagaikan tiada kesudahan seolah-oleh pengusaha kolam haram ini 'kebal' daripada tindakan.
"Sekarang ini, bila kita adukan perkara ini kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Pejabat Tanah dan Daerah dan sebagainya, ia seolah-olah buang masa. Tiada jawapan dan tindakan.
"Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang dan melihat sendiri betapa seriusnya isu kolam udang haram ini.
"Kita minta SPRM siasat siapa dalangnya dan siapa yang meluluskan pembinaan kolam udang ini sedangkan ia bukan zon akuakultur," katanya.
Mohd Radzi berkata, pendapatan nelayan sungai kini terjejas teruk dan jika projek kolam haram itu terus berjalan, pasti nelayan sungai yang terbeban memandangkan air sisa buangan kolam udang itu akan membunuh semua hidupan di Sungai Kurau.
Tambahnya, ada individu yang bersungguh-sungguh menentang projek kolam udang haram itu diugut pihak tertentu supaya berdiam diri.
"Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itu saya akan berjuang membela nasib nelayan pantai, khususnya di sini. Ini tempat kami cari makan dan jangan tabur pasir dalam periuk nasi kami," tegasnya.
Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, masalah kolam udang haram tidak hanya berlaku di Kerian malah turut menimpa daerah di negeri-negeri yang berhampiran laut.
Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan dapat menjalankan siasatan dengan telus dan saksama berkaitan isu di lokasi berkenaan.
"Hentikan terus jika ia tidak berlesen dan kenakan hukuman wajar pada pengusaha-pengusaha kolam undang haram ini.
"Jika perkara ini masih sukar diselesaikan, beri lesen pada pengusaha, namun perlu melalui saluran yang betul dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, projek mengorek tanah giat dilakukan pihak tertentu.
Pada Jun 2022, Harian Metro menyiarkan masalah ini dengan mengusulkan kepada kerajaan supaya melakukan siasatan serta menghentikan projek kolam udang haram terbabit.
Namun, difahamkan, tiada sebarang tindakan diambil malah kolam terbabit juga semakin bertambah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 0-kolam-udang-haram |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|