View: 1726|Reply: 0
|
[Selangor]
'Kami tetap bahagia'
[Copy link]
|
|
NORHASLINDA dan suami, Shafiq serta anak perempuan mereka bersama bapa mentua, Hsien.
Klang: "Saya menjalani kehidupan yang harmoni dan muafakat biarpun tinggal bersama bapa mentua yang berbeza pegangan agama, budaya dan kaum, malah bapa juga tidak melarang kami beribadah di rumahnya," kata Norhaslinda Ishak.
Norhaslinda, 37, memilih untuk tinggal bersama bapa mentuanya berbangsa Tionghua sambil membantu menguruskan lelaki warga emas itu sejak enam tahun lalu selepas berkahwin dengan suaminya Shafiq Liao Yoong Enn, 47, pada 2013.
Ibu seorang anak perempuan berusia sembilan tahun itu juga suka berkongsi kisahnya di TikTok dan mendapat perhatian netizen yang memuji persefahaman hidup bersama dan sudi menjaga bapa mentua biarpun berlainan agama.
Berkongsi kisah itu, Norhaslinda berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya berbakti kepada ibu bapa berlainan agama, malah kebajikan mereka masih perlu dijaga dengan baik.
Menurutnya, sepanjang empat tahun berkahwin, dia dan suami yang tinggal di Kuala Lumpur kerap berulang ke rumah bapa mentua, Hsien Nien Liao, 84, setiap hujung minggu sebelum pesakit kanser prostat itu meminta mereka tinggal bersama.
"Enam tahun ini adalah perjalanan yang baik walaupun pada mulanya agak kekok kerana bukan saja agama, tetapi kita berbeza budaya, masakan dan cara hidup. Jadinya banyak perkara baru yang saya belajar dengan sokongan suami.
"Papa (bapa mentua) tidak pernah melarang kami solat dan mengaji al-Quran di rumahnya, malah sambil menemaninya minum petang saya selalu mengaji. Setiap kali saya dan suami solat jemaah di masjid, papa akan menunggu kami untuk makan bersama biarpun makanannya sudah disiapkan lebih awal.
"Cuma saya perlu belajar memasak makanan Cina sesuai dengan status sebagai Muslim dan papa cakap rasanya hampir sama seperti yang biasa dimakan sebelum ini," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.
Katanya, hubungan kedua-dua keluarga juga baik dan mereka meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina bersama-sama, malah ketika Tahun Baru Cina juga dia akan memasak makanan untuk jamuan keluarga.
"Saya akan masak ikan stim atau ikan goreng sos kicap dan ketika perayaan Krismas, kami akan hantar papa ke gereja dan selepas itu mengambilnya sebelum pergi ke restoran untuk makan," katanya yang berasal dari Johor.
Katanya, kehidupan harmoni boleh dicapai melalui kesepakatan, saling bertolak ansur dan menghormati pegangan masing-masing selagi ia tidak melampui batas.
"Ini juga membuka ruang untuk keluarga lain melihat biarpun suami memilih Islam tetapi dia tidak meninggalkan keluarga dan masih boleh berbakti kepada orang tuanya," katanya.
Berhubung perkongsiannya di TikTok, Norhaslinda berkata, dia suka berkongsi kandungan media sosial bersifat keagamaan sebagai peringatan untuknya dan orang lain melakukan perintah Allah SWT.
"Selain itu, saya mahu mengalakkan semua orang termasuk mualaf terus berbuat baik kepada ibu bapa biarpun memilih Islam sebagai pegangan hidup.
"Niat saya berkongsi kisah kami bersama papa bukan untuk berbangga diri tetapi berharap ia memberi manfaat positif kepada netizen," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... /kami-tetap-bahagia |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|