View: 2879|Reply: 0
|
[Terengganu]
Perlu penambahbaikan peruntukan baiki jalan
[Copy link]
|
|
Tan Sri Lee Lam Thye
Kuala Terengganu: Peruntukan RM2.8 bilion untuk penyelenggaraan jalan dan RM50 juta untuk memperbaiki kawasan yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024 masih belum mencukupi bagi menaik taraf kadar keselamatan di negara.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana jumlah kemalangan yang dilaporkan sentiasa meningkat dan semakin serius setiap hari terutamanya yang membabitkan penunggang motosikal.
Beliau berkata, fokus utama harus diberikan kepada penunggang motosikal memandangkan mereka adalah golongan yang paling banyak terbabit dalam kemalangan yang membabitkan kematian sehingga 65 peratus.
"Pihak yang berkenaan harus mengenal pasti langkah mewujudkan laluan motosikal yang baik dan mampu menambah baik aspek keselamatan penunggang motosikal sekali gus mengurangkan kadar kemalangan golongan ini.
"Laluan motosikal ini boleh ditumpukan di kawasan yang kerap memperlihatkan banyak kejadian membabitkan penunggang motosikal.
"Kita harus memberi tumpuan kepada isu jalan berlubang yang bukan sekadar tertumpu pada jalan utama semata-mata tetapi semua jalan yang berada di bawah pemantauan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan harus menyediakan peruntukan khas kepada PBT untuk memperbaiki jalan berlubang di setiap kawasan di bawah pengawasan mereka sekiranya PBT tidak mempunyai dana yang mencukupi.
Katanya, tiada peruntukan khas mengenai pendidikan dan kesedaran untuk keselamatan jalan raya sedangkan pendidikan berkenaan pencegahan kemalangan jalan raya adalah perkara penting bagi mengelak masalah kemalangan menjadi lebih serius.
"Salah satu inisiatif ialah penggunaan papan tanda digital yang memaparkan statistik kemalangan jalan raya (dan) peringatan sebegini memberi kesedaran kepada orang ramai ketika memandu.
"Selain itu, pendidikan melalui kaca televisyen dan dalam talian mengenai sikap buruk memandu seperti memandu melebihi had laju, cuai dan tidak mematuhi peraturan jalan raya perlu dipaparkan sebagai peringatan mesra yang akan membantu keselamatan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan," katanya.
Dalam pada itu, Lam Thye memuji tindakan kerajaan yang akan menaikkan kadar duti eksais minuman bergula daripada 40 sen ke 50 sen seliter.
Beliau berkata, hasil kutipan itu diambil dan akan disalurkan semula untuk rawatan kencing manis dan pusat dialisis.
"Tidak dapat kita nafikan bahawa pengambilan gula menyumbang kepada masalah kesihatan yang paling teruk di negara kita, maka cadangan menaikkan duti eksais ini sememangnya harus diwujudkan kerana ia bukan saja mengelak orang ramai mengambil minuman bergula tetapi dapat mengelak penyakit yang serius," katanya.
Lam Thye turut melahirkan kebimbangan berikutan ketiadaan usaha yang jelas untuk memastikan pematuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah diwartakan pada Mac 2022.
Katanya, keselamatan dan kesejahteraan pekerja tidak seharusnya dikompromi dan adalah mustahak bagi PKS menerima keperluan yang diperlukan.
"Kebimbangan utama yang dirasakan ialah merangkumi pengabaian keseluruhan terhadap keselamatan dan kesihatan dalam belanjawan ini terutamanya ketiadaan peruntukan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran dan keselamatan tempat kerja, insentif cukai untuk import atau pembuatan peralatan pelindung diri (PPE) keselamatan serta peruntukan untuk mempromosi dan mengurangkan kesihatan mental," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... untukan-baiki-jalan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|