|
Ghazali Osman dan isterinya, Roshasmida Che Ibrahim membuat dan menjual kuih-muih sejuk beku untuk menyara keluarga. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kuala Krai: Seorang bekas cef tetap melaksanakan tanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga biarpun menghidap penyakit kronik sejak tujuh tahun lalu.
Ghazali Osman, 50, yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi terpaksa mengagahkan diri semampu mungkin dengan menjual kuih-muih sejuk beku demi kelangsungan hidup.
Menurutnya, walaupun kudrat tidak sekuat dulu, selain mata kanannya tidak dapat melihat manakala mata kiri pula kabur akibat komplikasi kencing manis, ia bukan alasan untuk meminta ihsan orang sekeliling.
"Sesukar mana sekalipun saya akan tetap melakukan pekerjaan demi menyara keluarga kerana tidak mahu bergantung kepada keluarga atau saudara mara yang turut mempunyai komitmen.
"Menjual lebih 20 jenis kuih-muih sejuk beku dengan dibantu isteri, Roshasmida Che Ibrahim, 44, menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga walaupun pendapatan diperoleh hanya cukup makan," katanya.
Terdahulu, Cempaka Merah Asnaf Society diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Chuchoh Puteri, di sini.
Bapa kepada lima anak ini berkata, walaupun harga barangan meningkat, dia masih mengekalkan harga kuih-muih sejuk beku kerana mahu air tangannya dapat dinikmati oleh semua orang.
"Wang hasil jualan kuih-muih ini turut digunakan untuk perbelanjaan tiga anak yang masih bersekolah berusia sembilan hingga 16 tahun selain untuk rawatan saya serta kos ulang alik setiap kali temujanji di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
"Walaupun pendapatan tidak menentu, namun saya bersyukur kerana masih ada rezeki untuk menyara keluarga," katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0300541100072107 atas nama Ghazali Osman bagi meringankan beban keluarga ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... udrat-semakin-lemah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|