|
Muhammad Danish.
Melaka: "Walaupun selepas 18 jam baru ditemui, keadaan wajah anak seperti tersenyum dan bersih macam orang tidur saja. Tiada sebarang luka dan cuma ada sedikit lumut dan lumpur."
Begitu kata peniaga nasi kerabu Nor Amiza Che Kar, 28, menceritakan mayat anaknya, Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, yang ditemui lemas di parit Jalan Desa Baru, Taman Desa Baru, di sini, pada jam 9 pagi tadi, kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya ditemui.
"Pemanggil itu cuma kata anak saya sudah dijumpai di Taman Desa Baru membuatkan hati terdetik dan bertanya adakah anak saya sedang bermain.
"Apabila ditanya bagaimana keadaan anak, barulah dia beritahu anak saya sudah meninggal dunia," katanya dalam nada sebak ketika dihubungi, hari ini.
Nor Amiza berkata, semalam pasukan penyelamat turut melakukan pencarian dan menyelam di tempat mayat mangsa dijumpai, namun gagal menemuinya.
"Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Allah yang mana anak saya dijumpai dengan mudah dan walaupun sedih, saya reda dan berlapang dada.
"Allah tidak menguji di luar kemampuan hambanya," katanya.
Menurutnya, jenazah Muhammad Danish akan disembahyangkan di Surau Al-Mubarak sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Pokok Mangga selepas Maghrib, hari ini.
"Setakat ini proses bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Melaka dan saya difahamkan ia mengambil masa kira-kira empat jam untuk disiapkan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tersenyum-nor-amiza |
|