|
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan 14 Disember lalu. - Foto IHSAN PDRM
KUALA LUMPUR – Seramai 30 wanita warga asing yang menjalankan aktiviti pelacuran ditahan dalam serbuan ke atas tiga premis sekitar ibu negara, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dijalankan di Jalan Pasar Baharu, Jalan Pudu dan Jalan Imbi bermula pukul 7.45 hingga 11.40 malam.
“Hasil serbuan ini, kita berjaya menahan 30 wanita warga asing berusia 23 hingga 59 tahun.
“Sehubungan itu, polis juga merampas sebanyak 100 keping kondom, 14 gulung tisu, tuala mandi (16), tisu basah (16), losyen (4), tiub pelincir (3), sekeping kad akses dan wang RM400,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... rga-asing-diberkas/ |
|