View: 4123|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Anggota polis nekad harung asap tebal demi selamatkan dua beranak
[Copy link]
|
|
Anggota polis mengiringi dua beranak yang diselamatkan turun dari kediaman mereka menerusi tangga kecemasan
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas tiga anggota polis memecahkan pintu sebuah unit kondominium dekat Wangsa Maju di sini, berjaya menyelamatkan dua beranak dari lemas terhidu asap kebakaran, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, bapa berusia 31 tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun terperangkap dalam rumah selepas kotak fius elektrik dalam ruang jeriji rumah mereka meletup secara tiba-tiba sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata Balai Polis Wangsa Maju menerima maklumat dari isteri mangsa mengenai suami dan anaknya yang terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Kondominium Sinaran yang terletak sekitar 20 meter dari Balai Polis berkenaan.
"Sebaik menerima maklumat, tiga anggota polis itu bergegas ke kondominium berkenaan dan dimaklumkan oleh pihak pengurusan tentang kejadian yang berlaku sebelum mereka naik ke tingkat 19 (kediaman mangsa) selepas mendapati pihak bomba masih dalam perjalanan.
"Anggota polis terpaksa menaiki tangga ke tingkat 19 kerana sistem bekalan elektrik terputus dan bertindak memecahkan pintu kediaman bagi menyelamatkan dua beranak terbabit," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Ashari berkata, beliau kagum dengan usaha anggotanya yang mengambil tindakan nekad menyelamatkan dua penghuni kediaman yang terperangkap itu.
Dua anggota Balai Polis Wangsa Maju bersama dua beranak yang diselamatkan mereka selepas kebakaran sebuah unit kondominium petang semalam
Sementara itu, salah seorang dari tiga anggota polis terbabit, Lans Koperal Mohamad Khairul Annuar Borhan, berkata sebaik dimaklumkan tentang situasi dua mangsa yang terperangkap, dirinya hanya memikirkan tentang bagaimana hendak membawa mereka keluar dari kediaman yang berkunci.
"Selepas tahu tentang situasi itu bercampur bimbang dengan keadaan kanak-kanak perempuan itu, tanpa berfikir panjang saya dan rakan anggota nekad naik ke tingkat 19 yang sudah diselubungi asap tebal selain terdapat beberapa letupan akibat litar pintas.
"Dalam keadaan yang gelap, kami mencari alat pemadam api dan memecahkan kunci mangga pada grill (jeriji besi) dan pintu rumah yang tebal.
"Pada masa sama kami terpaksa bergilir-gilir mencari ruang udara yang terbuka selepas kami juga hampir lemas terhidu asap," katanya.
Bagaimanapun selepas hampir 20 minit berusaha, pintu rumah dapat dipecahkan sebelum mereka membawa dua beranak itu yang berada di balkoni keluar dari kediaman itu dan menyelamatkan diri melalui tangga kecemasan.
Mohamad Khairul berkata, ketika hendak turun mereka sempat memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang baru tiba bahawa mangsa sudah diselamatkan.
Dalam perkembangan sama, isteri mangsa, Anis Farhana Abd Aziz, menzahirkan ucapan terima kasih kepada tiga anggota polis yang berusaha menyelamatkan nyawa suami dan anaknya tanpa memikirkan keselamatan diri mereka.
"Semasa bergegas pulang ke rumah selepas dihubungi suami tentang kebakaran rumah. Dalam dalam keadaan spontan saya terus hubungi bantuan Balai Polis Wangsa Maju untuk yang terletak bersebelahan kediaman untuk menyelamatkan mereka.
"Syukur tindakan pantas anggota polis dapat menyelamatkan mereka dari lemas terhidu asap dan mengelak perkara lebih buruk yang tak dapat saya bayangkan. Terima kasih polis," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... amatkan-dua-beranak |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|