View: 32834|Reply: 0
|
[Selangor]
Pendaftaran, kemaskini PADU tidak dilanjutkan
[Copy link]
|
|
Orang ramai melakukan pendaftaran PADU ketika hadir Sesi Townhall Bersama Menteri Ekonomi Berkenaan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
SHAH ALAM: Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan berakhir pada 31 Mac ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.
"Setakat saya boleh katakan kita tiada rancangan untuk lanjutkan daripada 31 Mac. Perdana Menteri sudah umumkan pada belanjawan lepas bahawa tahun ini kita akan lakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar. Jadi kalau saya ada ruang, sudah tentu saya berbesar hati untuk lanjutkan.
"Cuma kalau kita lanjutkan (tempoh pendaftaran dan kemas kini) bermakna kita juga menolak pelaksanaan subsidi bersasar ke depan yang mana setiap satu bulan penangguhan, kerajaan menanggung sekurangnya RM2 bilion bagi subsidi minyak (petrol) pukal," katanya pada sesi soal jawab pada Sesi Libat Urus Bersama Menteri Ekonomi berkaitan PADU di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar, Rafizi berkata, cadangan yang diangkat kepada kerajaan dan sedang dibincangkan adalah bantuan dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan kepada rakyat.
"Ia sesuatu yang belum pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini dan menerusi PADU, kita nak ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk tempoh jangka masa panjang. Sebelum ini bantuan kita beri dalam tempoh tiga ke empat bulan sekali atau bagi menerusi e-dompet," katanya.
Sementara itu, pada sesi libat urus berkenaan, Rafizi mengulangi kebimbangannya terhadap jumlah pendaftaran yang rendah dalam kalangan penduduk di Selangor.
Beliau berkata, 1,224 lokaliti di negeri ini masih belum mendaftar di bawah PADU.
Katanya, Petaling Jaya mempunyai bilangan penduduk yang tidak berdaftar dengan PADU tertinggi, diikuti Hulu Langat, Sepang, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
"Majoriti mereka yang tidak berdaftar dengan PADU di Selangor tinggal adalah mereka yang tinggal di rumah flat, apartmen dan kondominium," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... u-tidak-dilanjutkan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|