![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241015/myy-ub151024-cc-angkasa-p1.jpg)
Sagah (lima kanan) menyampaikan replika cek kepada pasukan Astrobyte Swinburne University Of Technology Kampus Sarawak yang muncul juara dalam kategori senior sambil disaksikan Dr Annuar (tiga kanan) dan yang lain.
MIRI: Aplikasi angkasa lepas bagi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Sarawak mendapat pengiktirafan negara kerana memajukan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk di sekolah luar bandar seluruh negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah berkata projek itu menerima Anugerah Lestari JCI Malaysia tahun ini dalam kategori Pendidikan Berkualiti Matlamat 4 dalam SDG (Malamat Pembangnan Mapan) negara.
"Aplikasi yang dinamakan NASA Space Apps Sarawak itu adalah salah satu daripada banyak inisiatif oleh kementerian saya, menunjukkan komitmen kami memupuk bakat muda STEM di Sarawak.
"Ia merupakan salah satu daripada inisiatif di mana kementerian saya melabur dengan ketara dan saya berbangga berkongsi usaha kami mendapat pengiktirafan negara melalui Anugerah Pembangunan Mapan JCI Malaysia tahun ini, di mana kami adalah pemenang dalam SDG Kategori Pendidikan Berkualiti Matlamat 4," katanya pada majlis makan malam penutupan NASA Space Apps Sarawak Hackathon 2024 di sini malam tadi.
Sagah menjelaskan, pendidikan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi usaha kolektif pelbagai pihak dan organisasi bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan dan peluang yang diperlukan.
Beliau berkata, memupuk bakat memerlukan pelaburan yang besar - sumber kewangan, sekolah, guru, ibu bapa dan polisi.
"Saya berbangga dengan pasukan kerana membawa masuk rakan kongsi dan kolaborator tambahan tahun ini, khususnya pasukan pembelajaran komuniti TEGAS, Kedutaan AS dan JCI Lutong," jelasnya.
Sagah memberitahu, melalui usaha kerjasama itu NASA Space Apps Sarawak diperluaskan ke kawasan baharu seperti Kapit, Lawas, Limbang, Lubok Antu dan komuniti lain yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Sarawak.
Mengenai NASA Space Apps Sarawak 2024 Hackathon, beliau berkata penyertaan dalam kategori senior tahun ini meningkat dengan ketara terutama dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Bagi kategori junior, Sagah memberitahu sekurang-kurangnya tiga sekolah menghantar lebih 10 pasukan setiap satu, jelas menunjukkan minat semakin meningkat terhadap pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
"Pengiktirafan khas diberikan kepada SMK Merbau, SMK Methodist dan SM Sains Miri kerana menghantar lebih tiga pasukan.
"Malah, SMK Merbau dan SMK Methodist masing-masing menghantar hampir 25 pasukan.
"Syabas kepada pemimpin sekolah dan saya harap anda terus merebut peluang ini untuk manfaat pelajar anda," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Dato Sudarnoto Osman dalam ucapan alu-aluannya berkata, hackathon tahun ini menerima pelbagai penyertaan termasuk animasi tentang ribut geomagnet dalam bahasa Iban dan realiti tambahan (AR) aplikasi mudah alih memaparkan eksoplanet, menjadikan pembelajaran lebih menarik.
Katanya, projek-projek inovatif ini bukan sahaja menyerlahkan kreativiti bakat muda Sarawak tetapi juga mempertajam kemahiran mereka dalam pengurusan masa, kerja berpasukan dan daya saing.
"Tahun ini, kami berbangga kerana melepasi sasaran kami dengan lebih 5,620 peserta dari 22 daerah di Sarawak termasuk Lundu, Lubok Antu, Meradong, Kapit, Tatau, Lawas dan Limbang.
"Kami juga mengadakan 20 bengkel dan mengadakan 52 sesi jerayawara melibatkan pelbagai pelajar, pendidik dan masyarakat di seluruh Sarawak," jelasnya.
Bagi kategori senior, pasukan Astrobyte dari Swinburne University of Technology Kampus Sarawak muncul sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.
Naib juara ialah pasukan Hackers & Moles dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membawa pulang wang tunai RM4,500 manakala pasukan Supastellar juga dari UNIMAS mendapat tempat ketiga dengan menerima RM3,000.
Hadiah sagu hati RM2,000 setiap satu diberikan kepada The Space Rangers dan CosmicNova, kedua-duanya dari UNIMAS.
Bagi kategori junior, pasukan Stardust Merbau dari SMK Merbau mendapat tempat pertama dengan menerima wang tunai RM5,000 manakala pasukan The Voyager dari SMK Methodist membawa pulang RM3,000 untuk tempat kedua.
Tempat ketiga disandang pasukan Orion-5A dari SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor menerima RM2,000 manakala pasukan Nebula Navigator dari SMK Kapit dan pasukan Dubai dari Woodlands International School Sibu menerima hadiah sagu hati RM1,000 setiap satu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee dan tetamu lain.
|