![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241015/benderapolisdirajamalaysia.png)
SIBU: Seorang wanita tempatan mengalami kerugian berjumlah RM32,726 selepas terperdaya dengan tipu helah sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian.
Terdahulu, mangsa yang merupakan pekerja swasta berusia 30-an tertarik dengan satu iklan yang menjanjikan komisen lumayan di media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa terlihat iklan pekerjaan itu pada Oktober lalu dan berhubung dengan suspek menggunakan nama 'Winnie' melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa melakukan tugas mudah seperti menekan pautan dan klik butang ‘Like & Submit,’ dengan janji komisen selepas tugasan selesai.
"Bagaimanapun, selepas beberapa tugasan, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan untuk mendapatkan komisen lebih tinggi.
"Teruja dengan tawaran itu, mangsa telah melakukan enam transaksi pemindahan wang ke akaun bank berbeza berjumlah RM33,726.
"Selepas pembayaran dilakukan, mangsa diminta membuat pindahan lebih banyak wang. Namun, cubaan menghubungi suspek gagal kerana panggilan mangsa telah disekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut di Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Zulkipli menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di media sosial yang menawarkan pulangan lumayan.
Beliau mengingatkan orang ramai agar membuat semakan terperinci dengan agensi atau syarikat yang sah sebelum menerima apa-apa tawaran kerja.
Bagi mendapatkan nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, atau melayari laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk menyemak akaun bank dan nombor telefon yang meragukan.
|