![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241013/cpmanchaata.jpg)
MIRI: Seorang penjawat awam wanita di sini kerugian kira-kira RM200,000 selepas terpedaya dengan 'phone scam' oleh sindiket yang menyamar sebagai wakil Unit Komunikasi Multimedia.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) berkata mangsa yang berusia 20-an itu membuat laporan polis selepas menyedari ditipu suspek.
Pada hujung September lalu katanya, mangsa mendakwa oleh seorang individu iaitu suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada Unit Komunikasi Multimedia.
"Suspek memberitahu bahawa nombor telefon mangsa telah disalah guna dan terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian di sekitar Kuching, Sarawak.
"Setelah itu, mangsa diarah menghubungi seorang individu iaitu suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut Mancha lagi, suspek mendakwa mangsa terlibat dengan kes judi dan pengubahan wang haram serta meminta mangsa memberi kerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan.
"Mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
"Suspek telah memindahkan lebih kurang RM200,000 untuk mengelakkan dirinya ditangkap oleh pihak polis," tambahnya lagi.
Sehubungan kes itu, Macha menasihatkan orang awam agar tidak melayan panggilan telefon atau mesej dari orang tidak dikenali serta tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu atau mana-mana pihak tidak dikenali.
Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menjadi mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) dan sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek.
|