Abdul Karim (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Magalong (dua kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri) Sherrina, Snowdan dan Abdul Malik.
KUCHING: Sarawak sedang meneliti untuk menjalinkan kerjasama dengan bandar raya Baguio di Filipina, khususnya dalam industri kreatif, pelancongan dan warisan budaya.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, kerjasama itu akan membuka jalan kepada pertumbuhan bersama, perkongsian pengetahuan dan persefahaman yang lebih mendalam antara Baguio dan Sarawak.
Selaras dengan itu, delegasi kementerian yang diketuai Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Baguio Benjamin Magalong, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap kementerian Datu Sherrina Hussaini dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Dato Abdul Malik Melvin Castelino.
Abdul Karim (kanan) memerhati proses menenun yang rumit oleh seorang artisan semasa lawatannya ke Handwoven Arts and Crafts Narda.
Kementerian itu berkata, Kuching dan Baguio berkongsi ikatan istimewa sebagai ahli Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO, dengan ibu negeri Sarawak itu diraikan sebagai 'Bandar Gastronomi,' manakala Baguio diiktiraf sebagai 'Bandar Kesenian dan Kraf Rakyat.'
Menurutnya, kerjasama itu mampu menyerlahkan kekayaan warisan budaya di kedua-dua bandar raya berkenaan, sekali gus meletakkan Kuching dan Baguio sebagai hab utama untuk memupuk pertukaran kreatif serta mempromosikan pembangunan bandar mampan.
"Bandar raya Baguio terkenal dengan kraf uniknya yang menarik pengunjung sepanjang tahun. Kraf ini berakar umbi dalam tradisi masyarakat Orang Asli Baguio, termasuk 'ifugao', 'ibaloi,' dan 'kankanaey.'
"Kraf tradisionalnya mencerminkan warisan budaya bandar, dipelihara dan diwarisi turun-temurun.
"Komitmen Baguio untuk menjaga tradisinya sambil menerima inovasi menunjukkan keseimbangan harmoni antara warisan dan kemajuan.
"Begitu juga dengan Sarawak, negeri ini komited untuk memelihara dan mengekalkan kekayaan warisannya, termasuk kraf tradisional," ujar kementerian dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kedua-dua bandar raya juga telah menerima konsep 'Bandar Pintar.'
Baguio muncul bandar pertama dan satu-satunya di Filipina yang mencapai status 'Bandar Pintar' dengan teknologi canggih untuk meningkatkan pengurusan dan kualiti hidup bandar, manakala Kuching mencapai status itu pada 2023, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, katanya.
Abdul Karim dan delegasinya yang kini berada di bandar berkenaan untuk menyertai Simposium Tekstil Ikat Sedunia, turut melawat Handwoven Arts and Crafts Narda di Winaca Craft Village, terletak kira-kira 45 minit dari bandar Baguio.
Handwoven Arts and Crafts Narda melibatkan artisan Orang Asli Cordillera secara aktif dalam memelihara teknik tenunan tradisional sambil memastikan mata pencarian yang mampan.
Artisan di Narda menggabungkan motif tradisional dengan fungsi moden, menjadikan produk relevan dengan pasaran kontemporari, sambil menumpukan kepada proses mesra alam yang menggunakan pewarna dan bahan semula jadi.
Kementerian itu berkata, Sarawak boleh bekerjasama dengan Winaca Craft Village untuk membangunkan program pembinaan kapasiti yang meningkatkan kemahiran artisan tempatan, sekali gus menggalakkan amalan mampan dan mewujudkan peluang baharu untuk akses pasaran.
"Perkongsian ini dapat memupuk pertukaran ilmu dan meningkatkan prospek ekonomi kraf tradisional dan pada masa sama, menyokong pemuliharaan warisan budaya di kedua-dua wilayah,” katanya.
|