Edited by Vellfire at 6-12-2024 07:28 AM
MENDIANG OLIVIA RICHARD
KOTA KINABALU: Pemergian mengejut seorang wanita berasal dari Papar yang menghembuskan nafas terakhir di negara Korea Selatan menjadi berita duka buat ahli keluarga mangsa.
Seakan tidak percaya selepas mendapat khabar pemergian Olivia Richard, 46, yang meninggal dunia pada Rabu lepas, adiknya Dora Richard sempat menghubungi kakaknya sehari sebelum itu melalui panggilan video.
Dora berkata, sepanjang mereka berhubung, kakaknya tidak pernah sekali pun mengadu mengalami sakit teruk dan hanya selsema akibat cuaca yang terlalu sejuk. "Dia tidak pernah mengadu sakit dan berita pemergiannya pun kami tahu daripada kumpulan WhatsApp di kampung.
“Selepas menerima berita itu, saya terus menghubungi kawannya di bandar Andong, Korea Selatan untuk mendapatkan pengesahan berita yang kami terima.
Ternyata khabar duka itu memang benar," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mendiang meninggal dunia di rumah sewa tempatnya bekerja selepas didapati tidak bangun biarpun selepas dikejutkan oleh rakannya.
Katanya, selepas rakannya memeriksa keadaan Olivia yang tidak bangun, barulah mereka menyedari mangsa sudah tidak lagi bernafas.
"Kami sekeluarga terutama emak memang terkejut dengan berita yang diterima kerana selama hampir tiga tahun berada di Korea Selatan, kakak tidak pernah mengadu sakit," jelasnya.
Mendiang adalah ibu tunggal kepada tiga anak yang berumur antara sembilan hingga 14 tahun dan masih bersekolah di Papar.
Bagi membawa pulang jasad mendiang Olivia yang berasal dari Kampung Navoung Papar, keluarganya memerlukan kos perbelanjaan berjumlah RM35,000.
Mayat mendiang kini ditempatkan di Sungso Hospital Andong di Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan dan mereka hanya mempunyai kira-kira tiga hari bagi mengumpul dana bagi membayar kos pengurusan jasad mendiang.
Sehubungan itu, sesiapa yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh berhubung dengan Dora di talian 019-8149558 atau memberi sumbangan melalui akaun Maybank, Dora Richard (115121090723).
|