KASSIM
SEREMBAN: Kejohanan Memanah Padang Kebangsaan @ELMU 2024 (NFAC@ELMU2024) anjuran bersama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dan ELMU Foundation dengan kerjasama Yayasan Prihatin SPRM dijangka menarik seramai 200 peminat sukan memanah dari seluruh negara.
Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamad berkata, kejohanan peringkat kebangsaan yang julung-julung kali diadakan di kampus universiti itu akan berlangsung pada 28 dan 29 Disember di kampus ELMU di Bandar Enstek, Nilai.
Katanya, bersempena kejohanan itu, ELMU juga melancarkan Kelab Memanah ELMU (ACE – Archery Club of ELMU) yang disasarkan kepada kakitangan dan pelajar universiti.
Beliau berkata, kelab itu bertujuan melahirkan ahli sukan memanah yang dapat mewakili negara dalam acara kejohanan memanah di dalam dan luar negara.
“Sukan memanah semakin popular di seluruh dunia. Negara kita adalah salah sebuah negara yang sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan pematuhan Sukan Memanah Dunia dalam kategori Kejohanan Memanah Padang.
“Kita harap suatu hari nanti Malaysia akan mampu menganjurkan acara sukan memanah peringkat antarabangsa,” katanya ketika melancarkan NFAC@ELMU2024 di kampus ELMU di sini
Peminat sukan memanah dari seluruh negara boleh mendaftar untuk menyertai kejohanan itu melalui Malaysia Archery Results and Entry Online System (MAREOS)sebelum atau pada 24 Disember depan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi penganjur di talian 019-9218186.
|