JOHAINIZAMSAHAH
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah percaya dan yakin kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag, Johainizamsahah Johari berkata, kepimpinan Sabah tidak perlu tunduk dengan desakan yang tidak berasas.
"Kenyataan terbaru Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, jelas tidak masuk akal dan dangkal.
"Desakan mereka supaya Ketua Menteri meletakkan jawatan, bukanlah satu keperluan pada masa ini, memandangkan segala isu yang tular hanya spekulasi semata-mata dan masih belum terbukti kebenarannya.
"Malah, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.
"Adalah lebih wajar kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, kes rasuah yang melibatkan Ketua Perhubungan UMNO harus diberi perhatian kerana ia memberi impak negatif terhadap kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri termasuk institusi Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, pemimpin berkenaan yang sepatutnya melepaskan jawatan kerana menghadapi krisis integriti, reputasi, dan kredibiliti berikutan penglibatan dalam skandal rasuah beliau sehingga kes beliau selesai dibicarakan di mahkamah.
"Ambil langkah melepaskan jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada individu yang lebih berintegriti dan berwibawa demi kebaikan parti itu yang semakin terhakis sokongan.
"Tindakan mendesak dan mencadangkan pelantikan atau pengunduran pemimpin tanpa sebab yang kukuh boleh mengundang keretakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan Sabah.
"Ini hanya akan menguntungkan pihak pembangkang dan menjejaskan kestabilan politik," katanya.
Beliau menyeru semua pihak perlu menghentikan spekulasi berkaitan isu klip video dengan segera dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan.
"Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik, menjunjung nilai integriti dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala tindakan.
"Hentikan politik kotor, menabur fitnah tanpa bukti kukuh kesalahan seseorang pemimpin, hanya kerana kepentingan politik peribadi dan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang tiba," katanya.
|